Skip to main content

Dunia

Hakim arah ganti rugi lebih AS$5 juta dibayar kepada E Jean Carroll, Trump kemuka rayuan

FILE PHOTO: Writer E. Jean Carroll leaves the 2nd U.S. Circuit Court of Appeals, where former U.S. President Donald Trump is asking a federal appeals court to overturn a $5 million jury verdict finding him liable for sexually assaulting and defaming her, who accused Trump of raping her nearly three decades ago, in Manhattan, New York, U.S., September 6, 2024. REUTERS/Adam Gray/File Photo
Carroll mendakwa Trump menyerangnya di bilik persalinan sebuah gedung serbaneka Bergdorf Goodman di Manhattan pada pertengahan 1990-an. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

NEW YORK: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengarahkan wang ganti rugi lebih AS$5 juta (kira-kira RM20.4 juta) yang perlu dibayar Presiden Donald Trump kepada penulis E Jean Carroll dilepaskan daripada akaun mahkamah dan diserahkan kepada wanita itu, susulan keputusan mahkamah yang mendapati Trump bertanggungjawab atas dakwaan serangan seksual dan fitnah terhadapnya.

Hakim Lewis Kaplan pada Rabu mengarahkan kerani mahkamah melepaskan dana berjumlah kira-kira AS$5.8 juta termasuk faedah, yang sebelum ini disimpan dalam akaun dikawal mahkamah selepas keputusan juri pada 2023.

Perintah itu dikeluarkan selepas Mahkamah Agung AS baru-baru ini menolak permohonan Trump untuk mendengar rayuannya bagi mencabar keputusan juri yang memihak kepada Carroll.

Pada Mei 2023, juri di New York memutuskan Carroll berhak menerima ganti rugi selepas mendapati Trump bertanggungjawab dalam kes sivil berkaitan dakwaan bahawa beliau menyerang Carroll secara seksual pada pertengahan 1990-an dan kemudian memfitnahnya dengan menafikan dakwaan itu secara terbuka.

Trump menafikan semua tuduhan berkenaan.

Carroll, kini berusia 82 tahun dan bekas kolumnis majalah, mendakwa Trump menyerangnya di bilik persalinan sebuah gedung serbaneka Bergdorf Goodman di Manhattan pada pertengahan 1990-an.

Beliau kemudian memfailkan saman fitnah selepas Trump menafikan dakwaan itu dalam beberapa kenyataan awam.

Trump sebelum ini memasukkan wang ganti rugi berkenaan ke dalam akaun mahkamah sebagai jaminan sementara proses rayuan berjalan.

Bagaimanapun, Hakim Kaplan memutuskan syarat untuk pelepasan dana telah dipenuhi selepas Mahkamah Agung enggan mendengar rayuan Trump.

Pasukan guaman Trump cuba menangguhkan pembayaran itu dengan memohon agar Mahkamah Agung mempertimbangkan semula keputusannya.

Namun, hakim menolak hujah tersebut dan mengarahkan dana diserahkan kepada Carroll seperti yang dipersetujui sebelum ini.

Jurucakap pasukan guaman Trump menyifatkan tindakan undang-undang terhadap presiden itu sebagai “pemburuan ahli sihir” yang bermotifkan politik dan menegaskan Trump akan terus mencabar keputusan berkenaan.

Tidak lama selepas perintah dikeluarkan, Trump mengemukakan rayuan baharu kepada Mahkamah Rayuan Persekutuan bagi menghalang wang tersebut daripada diserahkan kepada Carroll.

Selain kes itu, Trump turut merayu keputusan juri dalam satu kes fitnah berasingan pada 2024 yang memerintahkannya membayar hampir AS$84 juta kepada Carroll.

Rayuan terhadap keputusan berkenaan sebelum ini juga ditolak oleh panel hakim persekutuan.
 

 

Must Watch Video

Advertisement