BRUSSELS: Tiga hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah memfailkan tuntutan undang-undang terhadap kerajaan Amerika Syarikat (AS) atas sekatan berhubung keputusan kehakiman mengenai siasatan melibatkan Israel dan AS, lapor Anadolu Ajansi, memetik penyiar Belanda NOS pada Khamis.
Hakim berkenaan yang berasal dari Kanada, Uganda dan Benin, mengemukakan kes mereka ke mahkamah persekutuan di Manhattan, mengatakan bahawa sekatan itu menyalahi undang-undang dan merupakan serangan terhadap kebebasan kehakiman.
Sekatan itu, yang diperkenalkan oleh Washington tahun lepas, meliputi sekatan kewangan dan larangan visa yang menyasarkan hakim dan kakitangan ICC lain yang terlibat dalam siasatan berkaitan jenayah perang di wilayah Palestin yang diduduki.
Di bawah sekatan itu, hakim terlibat dilarang daripada mengakses aset yang dipegang di AS dan daripada terlibat dalam transaksi melibatkan syarikat atau perkhidmatan AS.
Antara keputusan yang dibangkitkan pihak berkuasa AS ialah pengeluaran waran tangkap untuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berhubung dakwaan jenayah perang yang dilakukan di wilayah Palestin.
AS tidak mengiktiraf bidang kuasa ICC ke atas warga AS atau warga negara bersekutu yang bukan pihak dalam Statut Rom, perjanjian yang menubuhkan mahkamah berkenaan.
Setiausaha Negara AS Marco Rubio berhujah bahawa mahkamah itu tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa warga AS atau warga sekutunya, menyifatkan tindakan ICC sebagai pelanggaran kedaulatan dan keselamatan AS serta negara rakan sekutunya termasuk Israel.
Dalam tuntutan mahkamah mereka, hakim berhujah tiada kecemasan negara yang sah wujud untuk mewajarkan sekatan dan berpendapat bahawa langkah itu "sewenang-wenangnya dan berubah-ubah", piawaian undang-undang yang sering digunakan dalam cabaran kepada dasar AS.
Seorang daripada hakim menyifatkan sekatan itu sebagai cubaan untuk menekan dan menghukum anggota badan kehakiman kerana menjalankan tugas rasmi mereka.
"Menyerang hakim antarabangsa untuk menjalankan tugas kehakiman mereka ialah serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang," kata peguam yang mewakili salah seorang hakim dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA-ANADOLU