Skip to main content

Bisnes

Firma OGSE Malaysia jana jualan eksport RM114.82 juta setakat 30 September

Akmal Nasrullah berkata, jualan eksport tersebut merupakan satu pencapaian diraih menerusi program promosi eksport dan pembangunan perniagaan antarabangsa yang dipermudah oleh MATRADE. - Gambar fail/Bernama
Akmal Nasrullah berkata, jualan eksport tersebut merupakan satu pencapaian diraih menerusi program promosi eksport dan pembangunan perniagaan antarabangsa yang dipermudah oleh MATRADE. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Sebanyak 77 syarikat Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Malaysia telah menjana jualan eksport berjumlah RM114.82 juta setakat 30 September tahun ini, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata, jualan eksport tersebut merupakan satu pencapaian diraih menerusi program promosi eksport dan pembangunan perniagaan antarabangsa yang dipermudah oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), sekali gus mencerminkan kemajuan di bawah Pelan Induk Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030.

“Menerusi Pusat Kecemerlangan Kewangan OGSE, 27 syarikat telah memperoleh kelulusan pembiayaan berjumlah RM125 juta, manakala enam projek di bawah Program Pemangkin OGSE telah dikomersialkan, dengan menjana jualan sebanyak RM10.1 juta.

Advertisement

“Pencapaian ini mencerminkan kepentingan membina keupayaan yang berdaya maju secara komersial, yang membolehkan syarikat-syarikat Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa,” kata Akmal Nasrullah dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menekankan bahawa kejayaan usaha pengantarabangsaan negara harus diukur berdasarkan kontrak serta perkongsian perniagaan jangka panjang yang terhasil dan bukannya berdasarkan jumlah misi perdagangan atau perjanjian yang ditandatangani.

Advertisement

“Saya telah mengarahkan Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) untuk memantau hasil komersial daripada misi ke Turkmenistan dan meneroka pendekatan serupa di pasaran strategik yang lain,” kata Akmal Nasrullah.

Beliau merujuk kepada inisiatif Privet OGSE Turkmenistan yang dilaksanakan oleh MPRC di bawah Program Akses Pasaran Antarabangsa, melibatkan 40 wakil daripada 19 syarikat OGSE Malaysia pada Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas Turkmenistan (OGT) bulan lepas.

Melalui misi tersebut, MPRC telah menandatangani memorandum persefahaman dengan State Concern Turkmennebit, iaitu syarikat minyak kebangsaan Turkmenistan, bagi meneroka peluang perniagaan yang saling menguntungkan.

MPRC juga menganjurkan paviliun negara yang pertama di OGT, mempamerkan kepakaran serta keupayaan teknologi tujuh syarikat OGSE Malaysia.

Akmal Nasrullah berkata, MPRC turut memudah cara penglibatan strategik dan pemadanan perniagaan melibatkan wakil kerajaan, syarikat tenaga nasional, serta pengendali antarabangsa berlandaskan hubungan minyak dan gas antara Malaysia dan Turkmenistan yang telah terjalin selama lebih 30 tahun, diterajui oleh Petronas.

Ini termasuklah Dragon Oil (Turkmenistan) Ltd, Eni Turkmenistan Limited, dan China National Petroleum Corporation (CNPC) Turkmenistan.

Beliau berkata, industri berkenaan juga sedang mempelbagaikan kegiatan ke arah rantaian nilai tenaga rendah karbon, dengan empat syarikat OGSE berjaya memperoleh pembiayaan berjumlah RM18.5 juta berkaitan dengan peralihan tenaga.

“Bagi memastikan Pelan Induk Industri OGSE Kebangsaan mencerminkan keperluan dan potensi industri di seluruh negara, saya telah menjemput pihak berkepentingan dari Sabah dan Sarawak untuk membentangkan perkembangan serta keutamaan mereka pada mesyuarat jawatankuasa pemandu yang akan datang,” kata Akmal. Nasrullah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, Mohd Yazid Ja’afar berkata, Program Sokongan Perkongsian Strategik OGSE telah membantu 37 syarikat melalui pemadanan perniagaan dan kerjasama strategik.

“Pelan induk ini menyediakan rangka kerja bagi tindakan yang diselaraskan antara kerajaan dan industri. Kerjasama berterusan dalam kalangan rakan pelaksana adalah penting untuk menangani keperluan industri serta mengekalkan momentum inisiatif-inisiatif ini,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Pelan Induk OGSE turut meneliti kemajuan pelaksanaan pelan tersebut, dengan dihadiri oleh wakil daripada pelbagai kementerian serta pihak berkepentingan industri.

Bersempena dengan genap lima tahun pelaksanaannya, Forum Pelan Induk OGSE Kebangsaan tahunan akan diadakan di Kuala Lumpur pada 3 Disember depan, Akmal Nasrullah dijadualkan merasmikan acara tersebut dan menyertai sesi perbincangan panel dikendalikan oleh Mohd Yazid.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement