SHENZHEN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini, awal hari ini, bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-33 yang mana beliau dijangka mengetengahkan kepentingan ekonomi Malaysia serta memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan rakan serantau dan global.
Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an pada pukul 12.29 tengah malam tadi. Shenzhen dan Malaysia berada dalam zon waktu yang sama.
Anwar dan rombongan pengiringnya disambut di lapangan terbang oleh Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad; Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Norfarina Mohd Azmee; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Guangdong Provincial People's Congress, Huang Chuping; Duta Besar China ke Malaysia yang baharu dilantik, Yao Wen serta Duta Besar bagi Protokol APEC, Ouyang Yujing.
Sejurus tiba Perdana Menteri disambut dengan Kawalan Kehormatan daripada 36 anggota The People’s Liberation Army serta pemberian jambangan bunga.
Shenzen yang terletak di wilayah Guangdong sering digambarkan sebagai 'Silicon Valley' bagi China dan menjadi lambang transformasi luar biasa ekonomi negara itu sejak bermulanya pembaharuan berorientasikan pasaran pada 1978.
Beberapa gergasi teknologi paling berpengaruh di China, termasuk Huawei, Tencent, BYD dan DJI beroperasi di sini, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai hab inovasi dan teknologi terkemuka di negara itu.
Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Amran Mohamed Zin.
Anggota delegasi lain termasuk Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan setiausaha sulit utama kepada Perdana Menteri, Datuk Shahrol Anuwar Sarman.
Semasa lawatan beliau, Anwar dijadualkan berucap pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2026 pada 18 November, yang mana Presiden China Xi Jinping juga dijangka menyampaikan ucaptama.
Presiden Rusia Vladimir Putin turut dijadual menyampaikan ucapan pada sidang kemuncak tersebut.
Seterusnya, Perdana Menteri akan menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada 19 November, yang mana para pemimpin dijangka membincangkan isu utama ekonomi serantau dan global termasuk memperkukuh kesalinghubungan serantau, menggalakkan transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI), serta mendorong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.
Pada 20 November Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Xi sebelum berlepas pulang ke Malaysia.
Selain Xi, Anwar juga dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.
China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM541.54 bilion (AS$126.81 bilion) pada 2025.
APEC merupakan forum antara kerajaan bagi 21 ekonomi anggota yang menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia-Pasifik yang merangkumi hampir 40 peratus daripada populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global, dan lebih daripada 60 peratus ekonomi global.
Malaysia merupakan antara 12 anggota pengasas APEC. Anggota lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand.
China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea menyertainya pada 1993. Chile menyertai pada 1994, manakala pada 1998, Peru, Rusia dan Vietnam turut menyertainya menjadikan jumlah keahlian penuh seramai 21 anggota.
-- BERNAMA