Skip to main content
Advertisement

Dunia

Hakim Persekutuan arah White House kembalikan akses CNN, MS NOW dan Politico

41448617665_TheWhiteHouse.jpg
White House tidak memberikan maklum balas serta-merta berhubung permintaan untuk mengulas selepas perintah hakim berkenaan dikeluarkan. - Gambar fail
Advertisement

ISTANBUL: Seorang hakim persekutuan mengarahkan White House  untuk mengembalikan semula dengan serta-merta akses bagi CNN, MS NOW, dan Politico, selepas memutuskan bahawa organisasi berita berkenaan berkemungkinan besar akan berjaya dalam tindakan undang-undang yang diambil terhadap pentadbiran Trump.

Hakim Mahkamah Daerah AS Timothy Kelly mengeluarkan perintah penyekatan selama 14 hari awal Khamis, sekali gus membolehkan ketiga-tiga agensi media itu mendapatkan semula akses ke White House sementara saman mereka diteruskan, menurut Anadolu Ajansi.

Kelly berkata organisasi berita berkenaan berkemungkinan menang, sekurang-kurangnya berdasarkan hujah bahawa pas akhbar mereka dibatalkan tanpa proses yang adil.

Beliau berkata pentadbiran Trump tidak menafikan organisasi terbabit tidak diberikan sebarang notis atau peluang untuk memberi maklum balas sebelum pas  mereka dibatalkan.

Keputusan itu turut menolak hujah White House bahawa pertimbangan keselamatan nasional mewajarkan kepada tindakan menyekat agensi berkenaan.

Kelly merujuk kepada penjelasan Trump sendiri mengenai sekatan itu dengan menjelaskan bahawa semasa presiden mengumumkan keputusan berkenaan, beliau memberi tumpuan kepada apa yang disifatkannya sebagai pelaporan tidak tepat dan negatif, dan bukannya isu keselamatan nasional.

Trump mengumumkan sekatan itu pada Jumaat, dengan menuduh ketiga-tiga organisasi media berkenaan kerap menyiarkan apa yang dipanggilnya sebagai "berita palsu".

Beliau berkata organisasi media lain juga boleh berdepan tindakan serupa.

Presiden itu kemudian menyifatkan langkah berkenaan sebagai sekatan ke atas "media bebas" dan menegaskan beliau tidak mahu agensi terbabit berada di dalam White House.

Trump turut berkata keputusan itu dibuat berdasar apa yang disifatkannya sebagai liputan negatif selama bertahun-tahun, bukannya disebabkan oleh mana-mana laporan individu.

Ketiga-tiga organisasi berita berkenaan mencabar keputusan itu di mahkamah dan mendakwa pentadbiran Trump telah membalas dendam terhadap mereka berikutan pelaporan yang dibuat.

Mereka juga berhujah bahawa dasar itu boleh menekan wartawan lain untuk mengubah pelaporan kerana bimbang berdepan tindakan serupa.

Dalam keputusannya, Kelly berkata Pindaan Pertama melindungi media daripada tindakan kerajaan yang dibuat semata-mata berdasarkan percanggahan pegawai terhadap kandungan pelaporan.

Trump sebelum ini mengkritik Kelly menjelang pendengaran kes pada Rabu dengan menggelarnya "sangat tidak setia" menerusi hantaran di media sosial, selain memberi bayangan pentadbiran beliau akan merayu terhadap sebarang keputusan yang tidak memihak kepadanya.

White House tidak memberikan maklum balas serta-merta berhubung permintaan untuk mengulas selepas perintah hakim berkenaan dikeluarkan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement