Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong yakin Halimah Yacob akan menjalankan tanggungjawabnya sebagai presiden kelapan republik itu dengan cemerlang.

"Presiden adalah mercu sistem politik kita dan lambang negara kita yang berbilang kaum, pelbagai agama," katanya dalam catatan terbaru dalam Facebook beliau.

Halimah dijadual mengangkat sumpah esok di Istana iaitu kediaman dan pejabat rasmi Presiden Singapura.

"Halimah pernah berkhidmat sebagai anggota kesatuan, pemimpin masyarakat, Anggota Parlimen, Menteri Negara dan Speaker.

"Pengalamannya yang luas semasa bekerja dengan rakyat Singapura daripada semua lapisan masyarakat, memperjuangkan nasib pekerja dan kumpulan kurang bernasib baik, akan dimanfaatkan semasa memegang jawatan presiden," kata Lee.

Lee berkata beliau sudah menghubungi Halimah untuk mengucapkan tahniah kepadanya menjadi presiden kelapan Singapura.

Perdana Menteri turut berterima kasih kepada Mohamed Salleh Marican dan Farid Khan Kaim Khan kerana menawarkan diri sebagai calon.

"Keputusan yang dibuat bukan mudah bagi mereka dan keluarga memandangkan mereka akan menjadi perhatian media dan orang ramai. Mereka menghormati Perlembagaan, menjaga tatasusila dan kesopanan.

"Mereka tidak mengelirukan rakyat dengan janji yang melangkaui bidang kuasa seorang presiden, yang mana pernah berlaku sebelum ini. Saya juga berterima kasih kepada mereka kerana menerima keputusan Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden. Inilah cara untuk menjadikan proses demokratik berjalan lancar dan demi kepentingan rakyat Singapura," katanya.

Mohamed Salleh dan Farid Khan, kedua-duanya ahli perniagaan, tidak layak menjadi calon presiden apabila gagal memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan untuk sektor swasta.

"Halimah akan mengangkat sumpah esok. Saya berharap kita semua akan menyokong beliau sebagai presiden kita seterusnya. Saya ingin bekerja dengan beliau untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura dan negara," kata Lee.

-- BERNAMA