ANGKATAN Pertahanan Israel (IDF) mendakwa telah menyelesaikan pembongkaran struktur pemerintahan Hamas di utara Gaza.

Jurucakap IDF, Daniel Hagari berkata, tumpuan IDF kini ialah memusnahkan Hamas di tengah dan selatan Gaza.

Dalam konteks dakwaan IDF ini, ia merujuk kepada kegilaan rejim Zionis itu merosakkan atau mengganggu struktur pengurusan dan organisasi Hamas di kawasan tersebut termasuk memusnahkan kemudahan atau aset-aset penting yang berkaitan dengan pentadbiran, kepimpinan mahupun kawalan Hamas di utara Gaza.

Bahkan, kemusnahan yang dilalukan IDF juga merangkumi pusat komando, pemimpin, komunikasi, atau struktur organisasi penting lain yang mempengaruhi keupayaan Hamas untuk beroperasi di kawasan tersebut.

Dalam sidang media pada Sabtu, Hagari turut mendakwa kira-kira 8,000 anggota Hamas telah terbunuh di utara Gaza.

Sekurang-kurangnya 22,438 orang telah terbunuh di Gaza akibat operasi ketenteraan Israel yang bermula berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, menurut data dikeluarkan Kementerian Kesihatan Palestin.

Hampir 70 peratus daripada mangsa yang terbunuh di Gaza terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) dalam laporan yang dikeluarkan pada Disember.

Sehubungan itu, Hagari berkata, IDF akan meneruskan usahanya untuk memusnahkan Hamas, tetapi mereka menyedari tugas itu akan mengambil masa.

“Kami akan melakukannya dalam kaedah yang berbeza, secara menyeluruh dan berdasarkan pengajaran yang kami pelajari daripada pertempuran setakat ini,” kata Hagari. - Agensi