Skip to main content

Malaysia

Kutipan hasil Kastam melonjak 25 peratus pada suku pertama tahun ini

Amran Ahmad
Amran menyeru semua pembayar cukai untuk terus meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang percukaian negara demi kemakmuran bersama. - Gambar Facebook Kastam

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan prestasi memberangsangkan bagi suku pertama tahun ini apabila kutipan hasil melonjak 25 peratus kepada RM23.60 bilion, berbanding RM18.82 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Amran Ahmad berkata peningkatan RM4.78 bilion itu didorong oleh pelbagai inisiatif strategik, termasuk pelaksanaan Trace and Recovery Operation (TRO) 3.0 yang berjaya meningkatkan kecekapan pungutan hasil negara.

Beliau berkata bagi meneruskan momentum kecemerlangan itu, JKDM melancarkan TRO 4.0 Siri 1/2026 yang menyasarkan 1,425 pendaftar Cukai Jualan, Cukai Perkhidmatan dan Cukai Pelancongan yang didapati telah mengemukakan penyata cukai tanpa bayaran.

“TRO 4.0 adalah inisiatif signifikan JKDM dalam mempertingkatkan kutipan hasil melalui pemerkasaan tahap pematuhan pendaftar cukai terhadap perundangan yang ditadbir oleh jabatan.

“Operasi khas bersepadu itu dijalankan secara serentak di seluruh negara bermula semalam hingga 28 Jun ini,” katanya pada majlis pelancaran TRO 4.0 di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Amran ketika mengulas mengenai impak operasi terdahulu berkata TRO 3.0 yang dilaksanakan sepanjang 2025 berjaya mewujudkan pematuhan positif dalam kalangan pemain industri menerusi tindakan penguatkuasaan yang tegas.

“Hasil daripada ketegasan operasi tahun lepas, sebanyak 225 syarikat telah dibuka kertas siasatan dengan 52 syarikat dikenakan kompaun manakala 17 syarikat kini sedang dalam proses pertuduhan di mahkamah akibat gagal mematuhi perundangan yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pembayar cukai untuk terus meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang percukaian negara demi kemakmuran bersama.

“JKDM kekal komited dalam memastikan kestabilan kutipan hasil negara, sekali gus menyokong agenda pembangunan ekonomi di bawah kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan keseimbangan antara kemakmuran ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kelestarian negara,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement