Skip to main content

Malaysia

Anwar berlepas ke Rusia hadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-RUSIA

Berlepas ke Kazan, Persekutuan Rusia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia. -- FB Anwar Ibrahim
Anwar memaklumkan beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin selain menghadiri Forum Perniagaan Rusia-ASEAN.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berlepas dari Pangkalan Udara Subang ke Kazan, Persekutuan Rusia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin selain menghadiri Forum Perniagaan Rusia-ASEAN.

"Usai agenda di Kazan, saya kemudian akan ke Ashgabat, Turkmenistan bagi mengadakan lawatan rasmi atas jemputan Presiden Serdar Berdimuhamedow.

"Mohon doa teman-teman agar urusan saya dan delegasi Malaysia dipermudah lantas membawa manfaat dan pulangan terbaik kepada negara," kata beliau.

Terdahulu, Wisma Putra memaklumkan Perdana Menteri yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan dari 17 hingga 18 Jun ini, akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir selain para pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri serta Kementerian Luar.

Sidang kemuncak itu menandakan ulang tahun ke-35 hubungan ASEAN-Rusia yang bermula di Kuala Lumpur pada 1991.

Menurut Wisma Putra, mesyuarat itu akan memberi peluang kepada ASEAN dan Rusia untuk meneliti semula kemajuan yang dicapai sejak 35 tahun lepas serta merangka hala tuju kerjasama masa depan di bawah Perkongsian Strategik ASEAN-Rusia.

Perbincangan dijangka memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan kerjasama praktikal dalam perdagangan dan pelaburan, tenaga, keterjaminan makanan, ekonomi digital, sains dan teknologi, budaya, pendidikan, pelancongan serta interaksi langsung antara sesama rakyat.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement