Hamas tidak percaya Israel walau sesaat

Khalil al-Hayya berkata, Hamas komited memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, menamatkan perang dan memastikan pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza. - Gambar fail Reuters
KAHERAH: Pemimpin kanan Hamas, Khalil al-Hayya menegaskan bahawa pihaknya “tidak mempercayai rejim Zionis walau sesaat,” lapor saluran berita Mesir yang dikaitkan dengan kerajaan, Al Qahera News.
“Kami mahukan jaminan yang sebenar,” katanya, sambil menuduh Israel melanggar dua gencatan senjata sepanjang perang di Gaza.
“Sepanjang sejarah, penjajah Israel tidak pernah menunaikan janji, dan kami telah mengalaminya sendiri sebanyak dua kali dalam perang ini,” katanya lagi.
Menurut Hamas, kumpulan itu bersedia mencapai persetujuan bagi menamatkan perang secara kekal serta melaksanakan pertukaran segera antara tebusan Israel dan tahanan Palestin.Namun, setakat ini Israel masih belum bersetuju untuk menarik keluar sepenuhnya semua pasukannya dari Gaza.
Dalam perkemban sama, al-Hayya berkata, Hamas komited memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, menamatkan perang dan memastikan pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza.
Dalam wawancara bersama media kerajaan Mesir, Al Qahera News pada Selasa, al-Hayya berkata, beliau akan mengadakan perbincangan gencatan senjata secara “bertanggungjawab dan serius” ketika berada di Mesir.
“Kami membawa bersama matlamat dan aspirasi rakyat kami – kestabilan, kebebasan, penubuhan negara serta hak menentukan masa depan sendiri,” katanya.
Menurut al-Hayya, Hamas hadir dengan matlamat utama untuk menamatkan perang, mengusir penjajahan Israel dari Gaza dan melaksanakan pertukaran penuh tahanan – termasuk pembebasan semua tebusan Israel, sama ada yang masih hidup atau telah terkorban, sebagai pertukaran dengan pembebasan tahanan Palestin.
Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump atas “usaha gigihnya bagi menghentikan perang ini.”
Pemimpin kanan Hamas itu turut memberi amaran bahawa serangan dan pengeboman masih berterusan, selain bantuan kemanusiaan yang disekat – khususnya di utara Semenanjung Gaza, dua tahun selepas Israel melancarkan serangan balas berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Al-Hayya berkata Hamas kini menuntut “langkah dan mekanisme” bagi memastikan penamatan kekal terhadap konflik. “Kami mahu prosedur dan jaminan daripada negara penaja serta Presiden Trump supaya perang benar-benar dihentikan dan tidak berulang,” katanya. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami