PEMIMPIN Tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh menzahirkan ucapan terima kasih kepada Afrika Selatan kerana melancarkan kes di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Dalam ucapannya pada Selasa, Haniyeh berkata, Hamas menghargai "kepentingan politik dan undang-undang tuntutan itu".

"Saya memuji semua kedudukan sokongan dan terutamanya di negara Afrika Selatan, yang memfailkan aduan dengan Mahkamah Keadilan Antarabangsa terhadap negara pendudukan atas jenayah kemanusiaan, pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai.

"Kami menghargai kepentingan politik dan undang-undang tuntutan mahkamah ini," katanya.

Haniyeh menambah bahawa Hamas telah menerima inisiatif dari Qatar dan Mesir.

Hamas juga katanya, terbuka kepada semua komponen untuk membina semula kepimpinan negara melalui pilihan demokrasi.

Beliau berkata, Hamas juga bersetuju untuk menubuhkan kerajaan untuk Tebing Barat dan Gaza berdasarkan penciptaan negara Palestin dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya.

"Saya juga ingin menegaskan bahawa Hamas telah menerima banyak inisiatif berkaitan situasi dalaman Palestin yang dikeluarkan oleh parti Palestin dan Arab serta personaliti yang prihatin untuk rakyat kita, perjuangan kita dan perpaduan kita.

"Kami telah memberi jaminan kepada semua orang tentang kepatuhan pergerakan kepada perpaduan rakyat dan tujuan. Ia terbuka kepada semua komponen negara demi membina semula rujukan nasional dalam kerangka organisasi melalui pilihan demokrasi, di samping bersetuju sebuah kerajaan untuk Tebing Barat dan Semenanjung Gaza serta bekerja atas dasar program penentangan dan tetap.

"Yang paling utama ialah negera dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya, hak untuk kembali dan menentukan nasib sendiri," ujarnya lagi.

Afrika Selatan memulakan kesnya pada Jumaat lalu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Ia memfailkan kes mendakwa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Negara itu turut meminta mahkamah mengarahkan Israel menghentikan serangannya.

Afrika Selatan telah menjadi pengkritik kuat kempen ketenteraan Israel di Gaza.

Presiden Cyril Ramaphosa telah membandingkan dasar Israel mengenai rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat dengan rejim apartheid Afrika Selatan yang mengasingkan kaum.