JAKARTA: Sekitar 2,000 pelajar dan guru di seluruh Indonesia dilaporkan mengalami keracunan makanan dalam tempoh tiga hari lalu, dipercayai berpunca daripada program makanan percuma sekolah yang diperkenalkan kerajaan.
Dalam insiden terbaharu, seramai 777 individu dilaporkan jatuh sakit selepas menikmati hidangan yang disediakan di sebuah sekolah menengah di Rembang, Jawa Tengah.
Program makanan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif bernilai berbilion dolar Amerika Syarikat dikenali sebagai Makan Bergizi Gratis (MBG), yang menjadi antara dasar utama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi meningkatkan tahap pemakanan dalam kalangan pelajar sekolah.
Namun, selain dipercayai menjadi punca beberapa kes keracunan makanan secara besar-besaran, program itu turut berdepan dakwaan rasuah serta kritikan berhubung kos pelaksanaannya.
Menurut pihak sekolah di Lasem, Jawa Tengah, seramai 752 pelajar dan 25 guru mengalami simptom keracunan makanan selepas menikmati hidangan MBG pada waktu makan tengah hari, Rabu lalu.
Pengetua sekolah berkenaan, Juhartutik, berkata, mangsa mengalami cirit-birit sehingga terpaksa bergilir-gilir menggunakan tandas.
“Mereka mengalami cirit-birit dan terpaksa bergilir menggunakan tandas. Terdapat 40 tandas di sekolah ini, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung semua yang terjejas,” katanya kepada BBC News Indonesia.
Susulan kejadian itu, hampir 1,200 pelajar dan 95 kakitangan sekolah dihantar pulang, manakala beberapa individu terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.
Juhartutik berkata, kerajaan akan menanggung kos rawatan mangsa, manakala pengedar makanan tempatan telah hadir ke sekolah bagi mengambil tanggungjawab terhadap insiden berkenaan.
Dalam kejadian berasingan, seramai 730 individu dilaporkan jatuh sakit selepas menikmati makanan MBG di sebuah sekolah berasrama Islam di Sidoarjo, Jawa Timur, pada Selasa, menurut pegawai kesihatan tempatan.
Seorang ibu bapa yang hanya dikenali sebagai Reni berkata, anaknya mengalami pening dan loya sebelum mengalami masalah perut selepas memakan hidangan yang disediakan.
Sebahagian mangsa memerlukan rawatan hospital, malah ada pelajar yang terpaksa dibawa menggunakan kerusi roda kerana terlalu lemah untuk berdiri.
Ratusan individu lain turut dilaporkan mengalami simptom keracunan makanan yang dipercayai berkaitan dengan program makanan percuma itu minggu ini, termasuk di beberapa sekolah sekitar Tana Toraja, Sulawesi Selatan.
Kes keracunan makanan lazimnya berpunca daripada penyimpanan makanan yang tidak sempurna atau proses penyediaan yang tidak memenuhi piawaian kebersihan, menyebabkan makanan tercemar dan ditolak oleh sistem badan.
Beberapa ibu bapa dan guru dilaporkan mendakwa terdapat hidangan ayam yang berlendir, selain makanan yang kelihatan tidak dimasak sepenuhnya serta mengeluarkan bau hanyir.
Pihak berkuasa tempatan kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk menguji sampel makanan bagi mengesan kemungkinan berlaku pencemaran.
Ketua unit pengedaran makanan di Lasem, Achmad Sholeh Syarifudin telah memohon maaf dan mengambil “tanggungjawab penuh” terhadap pemulihan pelajar serta guru yang terjejas.
Beliau berkata, satu penilaian menyeluruh terhadap operasi pengedaran makanan akan dilaksanakan susulan insiden tersebut.
Sementara itu, Ketua Agensi Pemakanan Nasional Indonesia menegaskan, tindakan tegas akan diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku kecuaian atau unsur jenayah dalam pengurusan program berkenaan.
“Jika dikenal pasti terdapat kecuaian dan unsur jenayah, saya memohon maaf, kami tidak dapat membantu,” katanya. - Agensi