KUALA LUMPUR: Hampir 32 juta warga Iran mendaftar sukarelawan untuk kempen Jan Fada sebuah inisiatif patriotisme berkorban untuk negara.
Pensyarah Institut Pengajian Islam Antarabangsa (IISS) di Qom, Qasem Muhammadi berkata kempen tersebut tidak wajib namun ia menunjukkan semangat rakyat Iran dalam menghadapi serangan Amerika Syarikat dan Israel sejak 28 Februari lalu.
“Ia merupakan kempen yang bersifat simbolik dan tidak mewajibkan penyertaan. Setiap individu berusia 12 tahun ke atas boleh mendaftar secara sukarela,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI secara dalam talian dari Qom, Iran.
Untuk rekod, kempen tersebut diperkenalkan pada April lalu dilancarkan bagi menghimpunkan sokongan rakyat serta menggalakkan penyertaan sukarela dalam usaha mempertahankan negara ketika berdepan ancaman luar.
Qasem turut mendakwa hampir 800,000 diaspora rakyat Iran di luar negara telah pulang ke negara tersebut ketika konflik masih memuncak semasa tempoh perang 40 hari.
“Walaupun Iran diserang setiap hari oleh Amerika Syarikat dan Israel, ribuan orang masih memasuki negara itu setiap hari kerana kecintaan mereka terhadap tanah air,” katanya.
Pada masa sama, Qasem menegaskan rakyat Iran tidak bimbang dengan tekanan dari pihak AS namun musykil dengan jaminan Washington apabila terus melakukan serangan ketika rundingan masih berlangsung.
“Rakyat Iran mahukan jaminan bahawa serangan oleh Amerika Syarikat dan rejim Zionis tidak akan berulang.
“Kebimbangan mereka bukan semata-mata perang atau ekonomi, tetapi kemungkinan konflik berakhir tanpa sebarang jaminan terhadap keselamatan negara pada masa depan,” katanya.
Beliau turut menyatakan rakyat Iran tidak menunjukkan sifat gentar malah berhimpun setiap malam di bandar-bandar utama untuk menyatakan sokongan terhadap pemerintahnya.
Tambahnya, meskipun berdepan serangan berterusan, rakyat Iran tetap menjalani kehidupan seperti biasa dengan meneruskan pekerjaan, perniagaan dan aktiviti harian mereka.
"Sejak bermulanya perang, rakyat terus memenuhi jalanan bagi menyatakan bahawa mereka tidak akan berundur sehingga pengajaran sewajarnya diberikan kepada pihak yang melakukan pencerobohan,” katanya lagi.
Untuk rekod, sejak konflik bermula lebih 3,400 orang dilaporkan terbunuh manakala lebih 26,500 lagi cedera di Iran susulan siri serangan yang berterusan.
Hari ini Presiden AS Donald Trump turut mengulangi ancaman untuk untuk melaksanakan operasi serangan sangat dahsyat ke atas Iran bermula tengah malam waktu tempatan.