BANGKOK: Sekurang-kurangnya enam maut dan hampir 70,000 isi rumah terjejas berikutan banjir di lima wilayah di selatan Thailand.

Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Tebatan Bencana, Chaiwat Junthirapong berkata, sejumlah 68,941 isi rumah di 32 daerah di lima wilayah selatan iaitu Narathiwat, Pattani, Yala, Satun, dan Songkhla terjejas akibat banjir itu.

Narathiwat paling teruk terjejas melibatkan 39,604 isi rumah di 457 kampung dalam 13 daerah.

Manakala di Yala, 18,340 isi rumah di 298 kampung di tujuh daerah ditenggelami air.

Di Pattani pula, 8,360 isi rumah terjejas, manakala di Satun dan Songkhla masing-masing melibatkan 1,801 dan 836 isi rumah.

Enam orang yang maut termasuk seorang wanita berusia 89 tahun dan seorang kanak-kanak lemas.

Pasukan penyelamat masih meneruskan pencarian seorang lagi yang hilang akibat banjir di Narathiwat.

Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin, semasa lawatan ke Narathiwat pada Selasa berkata, kerajaan akan segera memberi bantuan kepada mangsa.

Beliau mahu semua agensi setempat menyampaikan bekalan kecemasan dan bantuan kewangan kepada mangsa banjir, selain mengarahkan usaha untuk menangani situasi banjir.