MOSCOW: Hampir 80 pelajar Palestin dari Semenanjung Gaza telah tiba di Rusia sepanjang bulan lepas bagi melanjutkan pengajian di universiti di negara itu, kata Jurucakap Pejabat Perwakilan Rusia ke Pihak Berkuasa Palestin Yulia Ovsyannikova, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Kami memberi perhatian khusus terhadap urusan pemindahan pelajar Palestin dari Semenanjung Gaza yang telah diterima masuk ke universiti di Rusia.
“Sebagai sebahagian daripada usaha ini, menerusi dua penghantaran terakhir yang diatur pada 26 Okt dan 25 Nov tahun ini, seramai 79 belia telah meninggalkan wilayah berkenaan dan menuju ke pelbagai bandar di seluruh negara kami bagi meneruskan pengajian mereka,” kata Ovsyannikova.
Pada awal November, misi diplomatik Rusia di Palestin memaklumkan bahawa diplomat Rusia telah memudah cara pemindahan hampir 1,300 warga Rusia serta ahli keluarga mereka dari Semenanjung Gaza sepanjang tiga tahun konflik di Asia Barat.
Walaupun gencatan senjata telah berkuat kuasa di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2025, angkatan tentera Israel terus melancarkan serangan ke atas wilayah Palestin itu dengan mendakwa sasaran mereka adalah kemudahan milik serta anggota pergerakan Palestin, Hamas.
Situasi kemanusiaan di rantau berkenaan kekal meruncing di tengah-tengah kemusnahan yang meluas, gangguan terhadap operasi kemudahan perubatan serta kesukaran berterusan untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asas lain.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI