STOCKHOLM/GENEVA: Ratusan orang berhimpun di ibu negara Sweden, Stockholm pada Sabtu bagi membantah serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menyahut seruan beberapa pertubuhan masyarakat sivil, penunjuk perasaan berkumpul di Dataran Odenplan bagi mendesak Israel menghentikan serangan serta Sweden menghentikan penjualan senjata kepada Israel.
Mereka membawa sepanduk bertulis “Kanak-kanak dibunuh di Gaza”, “Sekolah dan hospital dibom”, “Patuhi gencatan senjata dengan segera” dan “Tamatkan krisis kekurangan makanan”.
Aktivis Sweden Gunilla Nilsson memberitahu Anadolu bahawa demonstrasi akan diteruskan sehingga genosid terhadap rakyat Palestin dihentikan.
Beliau berkata aktivis giat menjalankan kempen memboikot Israel dengan menggalakkan syarikat Sweden menarik balik pelaburan mereka dalam firma Israel serta menggalakkan pengguna memboikot produk Israel.
Nilsson turut mengkritik pelaburan dana pencen awam Sweden dalam syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS), Palantir, sambil menggesa pelaburan itu ditarik balik berikutan kaitan syarikat berkenaan dengan Israel.
Beliau mendakwa syarikat itu bersubahat dalam genosid menerusi platform perisian digitalnya digunakan dalam operasi ketenteraan, dengan teknologinya digunakan untuk membunuh orang awam Palestin, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.
-- BERNAMA-ANADOLU