Skip to main content

Malaysia

Anwar teruskan jelajah Yakin MADANI di Pulau Pinang hari ini

Petugas giat melakukan persiapan menjelang Program Yakin MADANI bertemakan 'Memaknai Harapan Rakyat' yang berlangsung di Kompleks Sukan Balik Pulau, ketika tinjauan 27 Nov lalu. -- fotoBERNAMA
Petugas giat melakukan persiapan menjelang Program Yakin MADANI bertemakan 'Memaknai Harapan Rakyat' yang berlangsung di Kompleks Sukan Balik Pulau, ketika tinjauan 27 Nov lalu. -- fotoBERNAMA
Advertisement

BALIK PULAU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dijadualkan menghadiri program Yakin MADANI peringkat negeri Pulau Pinang di Kompleks Sukan Balik Pulau di sini, sebagai antara pengisian utama lawatan kerja sehari beliau ke Pulau Mutiara.

Anwar dijadual menghadiri program berkenaan pada 1.30 tengah hari, selepas memulakan lawatan kerja dengan menghadiri Majlis Peluncuran Semarak Wakaf Perdana 2026 di Bayan Lepas pada 11.30 pagi.

Program Yakin MADANI Pulau Pinang yang diterajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu, bertujuan mendekatkan kerajaan dan masyarakat melalui penyampaian maklumat, perkongsian inisiatif, serta penyediaan perkhidmatan secara langsung.

Advertisement

Dengan sasaran kehadiran 100,000 pengunjung, program selama dua hari itu bermula semalam menawarkan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan e-sukan, pameran aset kerajaan, pertukaran topi keledar secara percuma, pertukaran minyak hitam motosikal, Fun Walk, pertandingan mencipta logo, Pound Fitness, sukan rakyat, aktiviti Rakan Muda, Passport Hunting, kempen antibuli serta Malam Ukhuwah.

Pengunjung turut berpeluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan seperti pemeriksaan kesihatan, pendaftaran MyDigital ID, promosi TVET MADANI, Karnival Kerjaya MYFutureJobs, perkhidmatan gunting rambut percuma dan khidmat kaunter bergerak.

Advertisement

Program di lima lokasi terpilih di seluruh negara bermula semalam yang dianjurkan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri itu merupakan manifestasi iltizam kerajaan untuk memastikan setiap dasar dan inisiatif diterjemahkan kepada manfaat nyata buat rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan mengakhiri lawatan kerja sehari dengan menghadiri Program Jelajah Wira MADANI Bersama Perdana Menteri di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Butterworth pada 4.30 petang.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement