NEW YORK: Harga minyak turun bagi hari dagangan keempat berturut-turut, dengan pedagang memantau rapat usaha diplomatik untuk menamatkan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Harga minyak mentah Brent Laut Utara bagi penghantaran November turun 1.75 peratus kepada US$102.05 setong pada pagi Isnin.
Presiden AS Donald Trump memberitahu Fox News pada hujung minggu bahawa beliau "berkemungkinan" bersedia untuk bertemu rakan sejawatnya dari Iran, Masoud Pezeshkian, di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York minggu ini.
Trump juga dijadual mengadakan sidang kemuncak dengan Presiden China Xi Jinping dan mungkin bertemu wakil negara-negara Teluk.
Sementara itu, pertempuran sengit antara kumpulan Houthi dan tentera kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa terus menimbulkan risiko terhadap laluan perkapalan melalui Selat Bab al-Mandab dan Laut Merah.
Trump turut menandatangani undang-undang yang diluluskan Kongres bagi mengenakan sekatan baharu secara menyeluruh terhadap Rusia.
Selain langkah hukuman secara langsung terhadap ahli politik dan syarikat Rusia, pakej itu turut merangkumi sekatan terhadap eksport minyak dan gas Rusia.
-- BERNAMA-dpa