DUNIA
Hargai pejuang, hubungan Malaysia-Indonesia terus kukuh - Duta Besar

Syed Mohamad Hasrin menegaskan bahawa dalam meraikan nikmat kemerdekaan, wajar bagi semua meluangkan masa untuk mengenang pengorbanan mereka yang menjadi tonggak kebebasan yang dinikmati sehingga kini. - Gambar fail/Bernama
JAKARTA: Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin pada Selasa menyeru rakyat Malaysia agar menghargai jasa para pejuang tanah air yang telah berkorban demi kemerdekaan negara.
Beliau menegaskan bahawa dalam meraikan nikmat kemerdekaan, wajar bagi semua meluangkan masa untuk mengenang pengorbanan mereka yang menjadi tonggak kebebasan yang dinikmati sehingga kini.
"Kita semua adalah penyambung amanah untuk meneruskan perjuangan ke arah Malaysia yang aman, makmur dan sejahtera," katanya pada Upacara Menaikkan Bendera sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68, Hari Malaysia ke-62 dan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-92 di kompleks kedutaan di sini hari ini.
Majlis itu dihadiri kira-kira 300 tetamu, termasuk Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Datin Sarah Al Bakri Devadason; ketua-ketua agensi kerajaan Malaysia di Jakarta; pegawai serta warga Kedutaan Besar dan Perwakilan Tetap Malaysia; selain pelajar dan rakyat Malaysia di Indonesia.Syed Mohamad Hasrin turut yakin kerjasama erat serta hubungan persahabatan yang kukuh antara Malaysia dan Indonesia akan terus berkembang di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, hubungan kedua-dua negara mencatat perkembangan pesat dalam pelbagai bidang pada 2024.
Dari segi perdagangan, nilai dagangan dua hala pada tahun lalu mencecah US$25 bilion, menjadikan Indonesia rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar di ASEAN.
Malaysia juga melonjak sebagai pelabur asing keempat terbesar dengan nilai US$4.2 bilion berbanding US$4.1 bilion pada 2023.
Seramai 4.14 juta rakyat Indonesia berkunjung ke Malaysia, manakala 2.27 juta rakyat Malaysia melancong ke Indonesia.
"Selain itu, kira-kira 11,000 pelajar Indonesia sedang menuntut di Malaysia, manakala lebih 1,100 pelajar Malaysia pula mengikuti pengajian di Indonesia," katanya.
Upacara rasmi dimulakan dengan menaikkan Jalur Gemilang, diiringi alunan muzik patriotik oleh Pancaragam Pusat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur.
Acara turut dimeriahkan dengan deklamasi puisi patriotik oleh anak-anak Kelas Bimbingan Malaysia serta persembahan Choral Speaking atau berbicara berirama oleh 20 pelajar Sekolah Menengah Atas (SMA) 78 Jakarta, yang mendapat tepukan gemuruh daripada para tetamu.
Majlis berakhir dengan sesi bergambar beramai-ramai serta jamuan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami