NEW YORK: Putera Harry dan Meghan Markle dilaporkan mengalami kejadian ‘kejar-mengejar antara kereta’ dengan jurugambar bebas (paparazzi) di jalan raya, kata jurucakap pasangan popular antarabangsa itu.

Insiden berkenaan didakwa berlaku sejurus selepas Harry dan Markle menghadiri upacara anugerah di New York pada Selasa.

Jurucakap pasangan berkenaan menggambarkan insiden itu sebagai 'hampir berbahaya' berikutan berlaku beberapa kejadian kenderaan yang membawa Harry dan Markle ‘bertembung’ dengan kenderaan dinaiki paparazi.

Harry serta isterinya juga didakwa sangat tertekan dalam kejadian yang berlaku selama dua jam itu.

"Duke dan Duchess of Sussex dan Ragland dikejar dengan kereta sehingga hampir membawa bencana di tangan sekumpulan paparazi yang sangat agresif.

"Mengejar tanpa henti yang berlangsung lebih dua jam, mengakibatkan beberapa perlanggaran hampir membabitkan pemandu lain di jalan raya, pejalan kaki," kata jurucakap pasangan itu dalam satu kenyataan.

Portal-portal berita antarabangsa melaporkan, bagaimanapun, tiada sebarang laporan berhubung kecederaan atau kerosakan kenderaan dialami pasangan itu.

Bahkan, pihak berkuasa dilaporkan sedang mengadakan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

Pasangan Harry dan Markle menjadi sorotan media sejak mereka membuat keputusan meninggalkan istana.

Harry melepaskan kedudukannya sebagai keluarga diraja England pada 2022.

Putera diraja itu bersama isterinya, Markle yang juga seorang bintang filem Hollywood memilih menetap di Amerika Syarikat (AS) dan melibatkan diri dalam pelbagai kerja amal serta menerbitkan kandungan media. 

Sementara itu, kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Polis New York (NYPD) mengesahkan terdapat insiden melibatkan Harry dan Markle.

NYPD turut menegaskan, banyak jurugambar telah membuat ‘perjalanan pasangan itu mencabar’.

Polis turut memaklumkan, tiada kecederaan atau penangkapan berlaku.

Istana Buckingham juga sehingga kini belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Terdapat juga dakwaan kejadian itu menyebabkan kekacauan berlaku di tengah-tengah kotaraya New York sehingga mendorong pasangan itu bersama ibu Markle, Doria Ragland cuba mencari perlindungan daripada polis di Manhattan.

Portal berita BBC melaporkan, pasangan itu juga difahamkan tinggal di rumah seorang rakan mereka dan tidak pulang ke kediaman sendiri untuk mengelakkan diri mereka daripada menjadi buruan paparazi.

Harry sejak sekian lama sering meluahkan kemarahannya terhadap pencerobohan media yang beliau persalahkan di atas kematian ibunya, mendiang Puteri Diana, yang terbunuh apabila limosinnya terbabas ketika ia memecut daripada dikejar paparazi di Paris, pada tahun 1997.