Helikopter persiaran hilang disahkan terhempas di barat daya Jepun

Kawasan sekitar Gunung Aso di Wilayah Kumamoto, lokasi sebuah helikopter pelancong yang dilaporkan hilang. - Foto AP
KUMAMOTO: Serpihan yang ditemukan di dalam kawah gunung berapi di Gunung Aso, Wilayah Kumamoto di barat daya Jepun, disahkan sebagai milik helikopter persiaran yang dilaporkan hilang pada Selasa, lapor agensi berita Kyodo memetik kenyataan Kementerian Pengangkutan pada Rabu.
Polis tempatan dan anggota bomba sedang meneruskan operasi mencari tiga individu yang berada di dalam helikopter berkenaan - seorang lelaki dan seorang wanita dari Taiwan, serta seorang juruterbang warga Jepun.
Pengarah Cawangan Fukuoka bagi Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Osaka, Chen Ming-jun, tiba di lokasi kejadian pada Rabu dan menyampaikan ucapan terima kasih bagi pihak Presiden Taiwan, Lai Ching-te. Menurut hantaran itu, keluarga penumpang warga Taiwan berkenaan telah tiba di Kumamoto pada sebelah petang.
Helikopter itu dilaporkan hilang semasa penerbangan yang sepatutnya mengambil masa 10 minit, selepas berlepas pada pagi Selasa dari sebuah zoo di Bandar Aso. Objek yang mengalami kerosakan teruk menyerupai badan helikopter ditemukan lewat hari berkenaan di lereng dalam kawah Gunung Nakadake, iaitu satu daripada lima puncak yang membentuk Gunung Aso.
Presiden pengendali helikopter itu, Takumi Enterprise yang berpangkalan di Okayama, Takumi Morioka, dalam satu sidang media di Aso berkata beliau mendoakan keselamatan mereka yang berada di dalam pesawat itu.
"Kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


