Skip to main content

Teknologi

Microsoft dedah tiga punca gangguan global Microsoft 365

Microsoft telah mengembalikan kod perisian, menambah kapasiti, memperkukuh pemantauan dan perlindungan sistem bagi mencegah insiden serupa berulang pada masa hadapan. -Foto Amanz
Microsoft telah mengembalikan kod perisian, menambah kapasiti, memperkukuh pemantauan dan perlindungan sistem bagi mencegah insiden serupa berulang pada masa hadapan. -Foto Amanz

Ringkasan AI

  • Microsoft mengesahkan gangguan global Microsoft 365 pada 12 dan 13 November berpunca daripada tiga faktor teknikal berkait, bukan serangan siber atau kegagalan AI.
  • Gangguan bermula akibat pepijat perisian, pengalihan trafik aplikasi secara automatik, dan penyusutan kapasiti pelayan gerbang sehingga lebih 80 peratus pelayan tidak responsif.
  • Microsoft telah mengembalikan kod perisian, menambah kapasiti, memperkukuh pemantauan dan perlindungan sistem bagi mencegah insiden serupa berulang pada masa hadapan.
Advertisement

REDMOND: Gergasi teknologi Microsoft akhirnya mendedahkan punca sebenar gangguan teknikal global selama hampir 24 jam yang menjejaskan perkhidmatan dalam talian Microsoft 365 pada 12 dan 13 November lalu, lapor Amanz.

Seperti yang dijelaskan dalam laporan awal, insiden tersebut bukan berpunca daripada serangan siber, aktiviti penggodaman atau kegagalan sistem kecerdasan buatan (AI), sebaliknya disebabkan tiga faktor teknikal yang saling berkait rapat.

Faktor pertama bermula daripada pepijat terpendam dalam kemas kini perisian yang dipasang pada pelayan gerbang rangkaian Microsoft 365 sejak Julai 2026 sehingga mencetuskan persaingan sumber antara proses dalaman sistem dan mengakibatkan lonjakan penggunaan unit pemprosesan pusat (CPU) serta memori pada perkakasan berkapasiti tinggi.

Advertisement

Keadaan menjadi semakin kritikal apabila sistem secara automatik mengalihkan trafik aplikasi Microsoft Teams daripada pelayan gerbang alternatif ke pelayan gerbang utama yang turut dikongsi oleh perkhidmatan Exchange Online kira-kira 15 jam sebelum gangguan, sekali gus meningkatkan beban rangkaian.

Faktor ketiga pula membabitkan penyusutan kapasiti apabila hampir 14 peratus kapasiti pelayan gerbang berkenaan tidak beroperasi akibat satu isu teknikal berasingan sehari sebelumnya, sekali gus melemahkan keupayaan sistem menyerap lonjakan trafik puncak.

Advertisement

Rantaian kegagalan itu memaksa sistem pengurusan trafik mengalihkan beban kerja ke pelayan lain yang masih beroperasi sehingga menyebabkan lebih 80 peratus pelayan gerbang rangkaian menjadi tidak responsif dalam tempoh kurang dua jam.

Mekanisme pengasingan antara rantau yang sepatutnya menyekat masalah setempat turut gagal berfungsi akibat satu lagi isu berasingan, menyebabkan gangguan tersebut merebak secara meluas ke peringkat global.

Bagi mengelakkan insiden serupa berulang, Microsoft memaklumkan pihaknya telah mengembalikan kod perisian terbabit kepada versi stabil terdahulu, menambah kapasiti infrastruktur, memperkukuh pemantauan sistem serta memperkukuh perlindungan terhadap kegagalan berantai menjelang penerbitan laporan siasatan akhir pada 20 November ini.

Must Watch Video

Advertisement