SEBUAH helikopter tentera India dilapor terhempas di daerah Nilgris dekat Tamil Nadu, India sekitar jam 12.20 tengah hari waktu tempatan.

Memetik laporan portal NDTV, pihak polis tempatan memaklumkan bahawa individu yang terselamat dikhuatiri mengalami cedera parah.

Tentera Udara India mengesahkan Ketua Turus Angkatan Tentera negara itu, Jeneral Bipin Rawat antara 14 individu yang dipercayai menaiki helikopter tersebut.

"Helikopter IAF Mi-17V5 berkenaan bersama Jeneral Bipin mengalami kemalangan hari ini berdekatan Tamil Nadu. Arahan untuk siasatan telah dikeluarkan untuk mencari punca nahas," kata Tentera Udara India dalam satu kenyataan, hari ini. 

Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi dilaporkan telah memanggil mesyuarat tergempar Kabinet susulan nahas tersebut.

Turut dilaporkan berada dalam helikopter tersebut adalah isteri Rawat.

Ketua Pengarang Puthiyathalaimurai TV, S. Karthigaichelvan turut berkongsi video nahas tersebut.

Ketika ini, hanya tiga individu yang berjaya ditemui.

Mereka yang cedera dibawa ke pangkalan tentera Wellington di daerah tersebut.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan pada ketika ini.