WASHINGTON: Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton umum beliau diuji positif COVID-19 dan kini mengalami gejala ringan.

"Saya telah diuji positif jangkitan COVID.

"Saya mengalami beberapa simptom selesema ringan, namun saya berasa sihat.

"Saya berasa amat bersyukur kerana perlindungan yang diberikan oleh vaksin terhadap penyakit serius.

"Sila dapatkan vaksin dan dos penggalak jika anda belum melakukannya!" kata bekas wanita pertama berusia 74 tahun itu dalam tweet terbaharunya.


Beliau turut memaklumkan bahawa suaminya bekas Presiden Bill Clinton telah diuji negatif dan berada dalam keadaan sihat.

"Dia sedang dikuarantin sehingga rumah kami benar-benar bersih," tambahnya dalam satu lagi tweet.


Hillary, calon presiden Parti Demokrat 2016, adalah ahli berprofil tinggi terkini parti yang diuji positif koronavirus itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Terdahulu, Setiausaha Akhbar White House, Jen Psaki telah mengumumkan dia diuji positif untuk kali kedua.

Sehingga Isnin, AS mencatatkan purata 29,892 kes baharu COVID-19 setiap hari, menurut Universiti Johns Hopkins, 16 peratus lebih rendah daripada minggu sebelumnya.