Skip to main content

Dunia

Hong Kong tawar beli unit pangsapuri Wang Fuk Court selepas kebakaran ragut 168 nyawa

Sky-high property prices have long fuelled social discontent in Hong Kong, where the fire tragedy could stoke further resentment towards authorities ahead of a city-wide legislative election in early December [REUTERS]
Kerajaan bercadang membelanjakan kira-kira HK$4 bilion (sekitar RM2.18 bilion) untuk membeli unit-unit di tujuh blok bangunan yang rosak teruk dalam tragedi November lalu. -Gambar fail/Reuters

HONG KONG: Kerajaan Hong Kong hari ini mengumumkan tawaran membeli hak milik hartanah daripada mangsa kebakaran pangsapuri Wang Fuk Court di Tai Po, sebagai sebahagian daripada pelan penempatan semula jangka panjang bagi ribuan penduduk yang terjejas.

Timbalan Setiausaha Kewangan, Michael Wong Wai-lun dalam satu sidang media berkata, kerajaan bercadang membelanjakan kira-kira HK$4 bilion (sekitar RM2.18 bilion) untuk membeli unit-unit di tujuh blok bangunan yang rosak teruk dalam tragedi November lalu.

Advertisement

Beliau menjelaskan bahawa harga tawaran ditetapkan pada HK$8,000 (kira-kira RM4,000) setiap kaki persegi bagi unit yang belum membayar premium tanah, manakala HK$10,500 (kira-kira RM5,250) setiap kaki persegi bagi unit yang telah menjelaskan bayaran berkenaan.

"Kami percaya harga yang dicadangkan ini adalah mencukupi untuk membolehkan penduduk yang terjejas berpindah dan mendapatkan kediaman tetap yang baharu," kata Wong, sambil menambah bahawa kos keseluruhan pengambilalihan itu dianggarkan mencecah HK$6.8 bilion (kira-kira RM3.40 billion).

Daripada jumlah tersebut, sebanyak HK$2.8 bilion (kira-kira RM1.4 bilion) akan dibiayai melalui dana bantuan yang ditubuhkan hasil sumbangan orang awam, manakala baki HK$4 bilion (kira-kira RM2 bilion) lagi akan disuntik daripada perbendaharaan awam.

Selain pilihan bayaran tunai, kerajaan turut menawarkan program pertukaran unit (flat-for-flat) di kawasan perumahan subsidi lain bagi penduduk yang tidak mahu menguruskan jumlah tunai yang besar.

Kebakaran besar yang berlaku pada 26 Nov 2025 itu telah meragut 168 nyawa dan menyebabkan hampir 5,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Siasatan mendapati penggunaan jaring perancah dan papan busa (foam boards) yang tidak memenuhi piawaian dalam projek penyelenggaraan menjadi punca api merebak dengan pantas.

Menurut Setiausaha Perumahan Winnie Ho, tujuh blok bangunan yang terjejas akan dirobohkan kerana tiada kaedah pembaikan yang kos efektif untuk memulihkannya mengikut piawaian keselamatan semasa.

Tapak berkenaan dijangka akan ditukarkan menjadi taman atau kemudahan komuniti. 

Must Watch Video