Hormati Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa - Presiden UNGA

Baerbock berkata, Piagam PBB bukan pilihan - ia adalah rangka panduan kita, sama ada pada saat tenang mahupun dalam krisis. - AP
MENGHORMATI Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa merupakan asas kepada orde antarabangsa, kata Presiden Perhimpunan Agung PBB (UNGA) Annalena Baerbock, dalam satu kenyataan mengenai situasi di Venezuela, lapor Xinhua.
Dalam kenyataan yang dihantar kepada wartawan pada Isnin, Presiden UNGA menegaskan: "Piagam PBB bukan pilihan - ia adalah rangka panduan kita, sama ada pada saat tenang mahupun dalam krisis, seperti di Venezuela hari ini, yang memuncak dengan tindakan ketenteraan Amerika Syarikat."
Menurut kenyataan itu Artikel 2 Piagam PBB dengan jelas menetapkan semua anggota PBB mesti menahan diri dalam hubungan antarabangsa mereka daripada mengancam atau menggunakan kekerasan terhadap integriti wilayah atau kemerdekaan politik mana-mana negara atau dengan cara lain yang tidak selaras dengan matlamat PBB.
Kenyataan itu turut menyatakan yang "dunia yang aman, selamat dan adil untuk semua hanya boleh dicapai jika kedaulatan undang-undang diutamakan dan bukannya 'kuasa menentukan yang benar'."
Pada awal pagi 3 Jan, tentera Amerika Syarikat melancarkan beberapa serangan ke atas Venezuela, dengan menahan secara paksa Presiden Nicolas Maduro dan isterinya sebelum meletakkan mereka dalam tahanan di New York, sekali gus mencetuskan kecaman meluas.
--BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


