BANGKOK: Thailand sedang menyediakan 7,000 katil di dua lapangan terbang antarabangsa - Suvarnabhumi dan Don Mueang - di tengah-tengah peningkatan kes baharu COVID-19 terutama di bandar raya Bangkok.

Menteri Pengangkutan Saksayam Chidchob berkata Lapangan Terbang Thailand (AOT) bersetuju supaya hospital medan didirikan di kawasan yang tidak digunakan di lapangan terbang itu bagi menampung pesakit COVID-19.

Beliau berkata terminal satelit yang baharu siap di Suvarnabhumi akan menyediakan sekurang-kurangnya 5,000 katil.

"Don Mueang pula sedang dalam proses mengubah suai kawasan gudang untuk dijadikan hospital medan yang menempatkan 2,000 katil bagi pesakit bergejala ringan," katanya seperti dipetik The Nation.

Sejak 24 jam lalu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata Thailand mencatatkan 9,539 kes baharu dan 86 kematian, menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 336,371 dan 2,711 korban sehingga kini.

Ujarnya di Bangkok sahaja 2,741 kes baharu dan 39 kematian dilaporkan manakala terdapat 126 kluster jangkitan.

Dari 9,539 kes baharu itu 9,521 melibatkan jangkitan tempatan, 2,305 melalui pengesanan kes aktif dan 18 kes import.

Dalam usaha mengehadkan pergerakan rakyat, Ketua Angkatan Tentera Diraja Thailand Jeneral Chalermpol Srisawat berkata sejak Sabtu pasukan keselamatan dan pegawai pentadbiran tempatan telah dikerahkan ke hampir 150 pusat pemeriksaan di Bangkok dan sembilan wilayah.

Katanya, 88 pusat pemeriksaan telah didirikan di ibu negara dan 20 lagi di lima wilayah lain iaitu Nonthaburi, Pathum Thani, Samut Prakan, Samut Sakhon dan Nakhon Pathom.

Sementara itu 39 pusat pemeriksaan turut diwujudkan di wilayah selatan iaitu Songkhla, Yala, Pattani dan Narathiwat.

Chalermpol berkata untuk mengekang aktiviti keluar masuk secara haram di sempadan, pihak berkuasa menempatkan lebih banyak anggota dan peralatan, selain menjalin kerjasama dengan penduduk kampung dan pegawai pentadbiran tempatan.

Di samping itu Thailand akan menguatkuasakan langkah pencegahan lebih ketat bermula Isnin.

Perintah berkurung akan dikuat kuasa mulai 9 malam hingga 4 pagi di Bangkok dan sembilan wilayah lain.