DUNIA
Hujan monsun ragut 45 nyawa dalam tempoh empat hari di seluruh Pakistan

Kejadian cuaca ekstrem seperti ini semakin kerap berlaku, menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan infrastruktur negara untuk menanganinya. - Foto AP
ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 45 orang terkorban dalam tempoh empat hari akibat hujan lebat dan banjir kilat yang melanda hampir seluruh wilayah di Pakistan sejak bermulanya musim monsun pada 26 Jun, menurut kenyataan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA).
Kebanyakan kematian dilaporkan berpunca daripada bumbung runtuh, tanah runtuh dan limpahan sungai yang menghanyutkan rumah serta jambatan.
Wilayah Khyber Pakhtunkhwa mencatatkan angka korban tertinggi, termasuk 10 kanak-kanak yang maut dalam kejadian di Lembah Swat.
Di wilayah Punjab, lapan kanak-kanak turut terkorban apabila dinding dan bumbung rumah runtuh akibat hujan lebat.NDMA turut melaporkan bahawa 89 buah rumah musnah atau rosak teruk, manakala 55 ternakan turut terkorban.
Sejumlah 68 orang cedera, dan angka itu dijangka meningkat berikutan ramalan hujan berterusan dalam tempoh 24 jam akan datang.
Pihak berkuasa telah mengaktifkan pelan kontingensi dan menggerakkan pasukan bantuan serta sukarelawan untuk mengagihkan bekalan asas kepada mangsa yang terjejas.
NDMA juga mengeluarkan amaran cuaca bagi beberapa kawasan berisiko tinggi termasuk Rawalpindi, Islamabad, Swat, dan Kashmir, dengan kemungkinan berlaku banjir kilat dan tanah runtuh.
Pakistan, yang mempunyai lebih 240 juta penduduk, merupakan antara negara paling terdedah kepada kesan perubahan iklim.
Kejadian cuaca ekstrem seperti ini semakin kerap berlaku, menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan infrastruktur negara untuk menanganinya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami