INTERNATIONAL
Hukuman diubah, Lyle dan Erik Menendez layak parol sabitan kes bunuh ibu bapa

Dua beradik, Lyle dan Erik Menendez, yang dipenjara sejak 1989 atas kesalahan membunuh ibu bapa mereka, kini layak dipertimbangkan untuk parol selepas hukuman mereka diubah kepada 50 tahun hingga seumur hidup. -Gambar fail/Reuters
LOS ANGELES: Dua beradik yang telah menjalani hukuman penjara selama 35 tahun atas kesalahan membunuh ibu bapa mereka pada tahun 1989, kini layak untuk parol selepas seorang hakim di Los Angeles, Amerika Syarikat menjatuhkan hukuman baharu terhadap mereka pada Selasa.
Ringkasan AI
- Dua beradik, Lyle dan Erik Menendez, yang dipenjara sejak 1989 atas kesalahan membunuh ibu bapa mereka, kini layak dipertimbangkan untuk parol selepas hukuman mereka diubah kepada 50 tahun hingga seumur hidup.
- Keputusan ini dibuat berdasarkan statut pesalah muda California, memandangkan mereka berusia bawah 26 tahun ketika jenayah berlaku, dan hakim mengiktiraf pemulihan luar biasa yang ditunjukkan mereka.
- Walaupun mereka menunjukkan penyesalan mendalam, keputusan akhir pembebasan bergantung kepada Lembaga Parol Negeri dan Gabenor California, dengan kes ini kembali mendapat perhatian melalui dokumentari Netflix *The Menendez Brothers*.
Keputusan ini dibuat berdasarkan statut pesalah muda California, yang membolehkan individu berusia bawah 26 tahun ketika melakukan jenayah untuk layak mendapat parol selepas menjalani separuh daripada hukuman.
Bagaimanapun, keputusan akhir mengenai pembebasan mereka akan ditentukan oleh Lembaga Parol Negeri dan Gabenor California, Gavin Newsom.
Sementara itu, dalam kenyataan kepada mahkamah, Erik Menendez meluahkan rasa kesal di atas jenayah yang telah dilakukannya.
“Jenayah saya bukan sahaja jenayah, tetapi juga salah dari segi moral, kejam dan tidak berperikemanusiaan,” kata Erik.
Abangnya, Lyle Menendez pula melahirkan rasa malu terhadap perbuatannya dahulu.
“Hari ini, selepas 35 tahun, saya amat malu dengan siapa saya dahulu,” kata Lyle.
Kes melibatkan Menendez bersaudara mendapat perhatian dunia sejak perbicaraan pertama pada tahun 1993, yang mendapat liputan media antarabangsa.
Dalam kejadian pada 20 Ogos 1989, José dan Mary Louise “Kitty” Menendez ditemukan mati ditembak di kediaman mewah mereka di Beverly Hills.
Anak pasangan itu, Lyle dan Erik, yang ketika itu berusia 21 dan 18 tahun, mendakwa ibu bapa mereka dibunuh oleh penceroboh.
Namun, polis meragui dakwaan tersebut selepas dua adik beradik itu dilihat berbelanja besar menggunakan harta peninggalan ibu bapa mereka.
Pada Mac 1990, Lyle dan Erik ditangkap dan didakwa atas tuduhan pembunuhan tahap pertama.
Pihak pendakwaan mendakwa pembunuhan dilakukan kerana tamak ingin mendapatkan harta keluarga.
Pihak pembelaan pula berhujah bahawa Lyle dan Erik bertindak mempertahankan diri selepas bertahun-tahun melalui penderaan fizikal dan seksual oleh bapa mereka.
Kes ini mendapat perhatian baharu selepas Netflix menayangkan dokumentari bertajuk "The Menendez Brothers" yang menyelami kisah pembunuhan dan perbicaraan mereka dengan menampilkan wawancara eksklusif dari dalam penjara serta pandangan ahli keluarga, peguam, dan pihak pendakwaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami