Skip to main content

Dunia

ICE rancang guna robot anjing

Sumber: Boston Dynamics
Penggunaan robot berkaki empat oleh pihak berkuasa dan pasukan keselamatan bukan sesuatu yang luar biasa. Robot menyerupai anjing daripada Boston Dynamics turut digunakan di pelabuhan Hamburg, Jerman.
Advertisement

WASHINGTON: Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) Amerika Syarikat (AS) merancang untuk menggunakan robot menyerupai anjing dalam operasinya, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Langkah itu adalah di bawah perjanjian bernilai AS$2 juta dengan sebuah syarikat robotik global terkemuka, menurut sebuah dokumen penganugerahan kontrak kerajaan. 

Boston Dynamics, sebuah syarikat yang berpangkalan di Massachusetts, dijangka diberikan kontrak tersebut sebelum penghujung tahun ini, menurut satu notis daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) AS yang diterbitkan pada Khamis dan dilaporkan secara meluas pada Jumaat.

Robot yang dikawal dari jarak jauh itu adalah untuk penilaian situasi dan risiko, menurut justifikasi pemerolehan oleh jabatan berkenaan yang menyelia aktiviti ICE.

“Penggunaannya akan meningkatkan keupayaan pihak berkuasa untuk bertindak balas terhadap insiden yang melibatkan kawasan berbahaya, ruang terkurung, kawasan tidak stabil atau kawasan yang sukar diakses," menurut kenyataan itu.

Tiada maklumat berhubung potensi keupayaan serangan robot berbentuk anjing tersebut. Model standard robot SPOT dilengkapi kamera resolusi tinggi berkeupayaan 360 darjah, lampu LED yang sangat terang serta sistem pengesanan cahaya.

Serbuan pengusiran yang dijalankan oleh pegawai ICE merupakan sebahagian daripada dasar imigresen keras Presiden Donald Trump.

Pada Januari, agensi itu dikritik hebat selepas pegawai persekutuan menembak mati warga AS, Renée Good dan Alex Pretti, di jalan awam di Minneapolis.

Sejak itu, terdapat insiden maut lain berlaku, contohnya di Houston, Texas dan di negeri Maine.

Baru-baru ini, agensi itu turut mencetuskan kontroversi berhubung rancangan perolehan sarung tangan kejutan elektrik.

Penggunaan robot berkaki empat oleh pihak berkuasa dan pasukan keselamatan bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Robot menyerupai anjing daripada syarikat yang sama telah pun digunakan di pelabuhan Hamburg, Jerman untuk memeriksa keselamatan jambatan.

Robot seumpama itu juga boleh digunakan sekiranya berlaku ancaman bom atau situasi berbahaya yang lain.

-- BERNAMA-dpa 

 

Must Watch Video

Advertisement