DUNIA
ICRC desak Israel-Hamas capai perjanjian benarkan bantuan masuk ke Gaza

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menggesa Israel dan Hamas mencapai perjanjian bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza. - Gambar Reuters
BRUSSELS: Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) pada Selasa menggesa Israel dan Hamas mencapai perjanjian bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza serta memudahkan hubungan dengan tawanan yang ditahan di wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan, ICRC menyatakan kesediaan untuk menghantar ubat-ubatan, makanan dan mesej daripada ahli keluarga kepada para tawanan, namun menegaskan, operasi sedemikian memerlukan persetujuan awal antara kedua-dua pihak.
"Hanya perjanjian berkekalan antara pihak-pihak terlibat yang mampu menamatkan penderitaan yang dialami oleh para tawanan dan keluarga mereka, serta berjuta-juta penduduk Gaza yang sedang bergelut untuk terus hidup," kata kenyataan itu.
ICRC juga memaklumkan, pasukannya di lapangan bersiap sedia meningkatkan penghantaran bantuan yang menyelamatkan nyawa, sambil menyeru agar ia dapat disalurkan dengan cepat dan tanpa halangan."Dengan kekurangan makanan yang semakin meruncing setiap hari, orang awam di Gaza mesti diberikan akses segera dan berterusan kepada makanan, air bersih, bekalan perubatan dan kebersihan, serta keperluan asas lain," menurut kenyataan itu.
Sebagai sebahagian daripada usaha menangani krisis kemanusiaan dan menegakkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Presiden ICRC, Mirjana Spoljaric mengadakan pertemuan dengan Presiden Israel, Isaac Herzog pada Isnin.
"Peluang untuk menyelamatkan nyawa di Gaza semakin tertutup. Tindakan mesti diambil sekarang," tegas ICRC.
Israel terus melancarkan serangan ke atas Gaza sejak 7 Okt 2023, yang mengorbankan lebih 61,000 rakyat Palestin.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami