TEL AVIV: Israel mendakwa Iran kini memiliki peluru berpandu jarak jauh yang berupaya menjangkau beberapa ibu kota utama Eropah, termasuk London, Paris dan Berlin, susulan siri serangan terbaharu yang menggegarkan rantau itu.
Menurut Pasukan Pertahanan Israel (IDF), dakwaan ini dibuat selepas Iran melancarkan peluru berpandu yang sebelum ini tidak diketahui jarak sebenarnya, termasuk serangan ke atas pangkalan bersama UK-AS di Diego Garcia, sejauh kira‑kira 4,000 kilometer dari Iran, jarak yang melebihi had 2,000 kilometer yang Iran sendiri pernah tetapkan.
Advertisement
Pemimpin tentera Israel, Jeneral Eyal Zamir, memberi amaran bahawa perang ini “masih jauh dari berakhir”.
“Rejim Iran kini menjadi ancaman global… dengan peluru berpandu yang boleh mencapai London, Paris atau Berlin,” katanya dalam kenyataan di platform X.
Pemerhati keselamatan antarabangsa berkata kemampuan Iran menyerang Diego Garcia menimbulkan kemungkinan Tehran telah menggunakan teknologi kenderaan pelancar angkasa (SLV) bagi melancar peluru berpandu jarak lebih jauh daripada yang diakui sebelum ini.
Israel turut mendakwa Iran menembakkan peluru berpandu balistik dua peringkat, sesuatu yang mengukuhkan lagi kebimbangan tentang peningkatan kemampuan ketenteraan Iran.
Terbaharu serangan Iran ke atas komuniti berhampiran kemudahan nuklear Israel di Dimona dan Arad telah mencederakan puluhan orang dan menandakan pertama kali tapak penyelidikan nuklear Israel menjadi sasaran dalam konflik ini.
Israel mengesahkan sistem pertahanannya gagal memintas beberapa peluru berpandu tersebut.
Gelombang serangan dan tindak balas antara Iran, AS dan Israel berlanjutan sejak 28 Februari.
Iran melaporkan lebih 1,500 kematian akibat serangan AS-Israel, menurut penyiar negara.
Dengan ancaman peluru berpandu jarak jauh yang semakin jelas, konflik kini bukan sahaja menjejaskan Asia Barat, tetapi turut menimbulkan kebimbangan keselamatan di Eropah dan seluruh dunia.