SINGAPURA: Pertumbuhan ekonomi Singapura diunjur perlahan kepada 3.5 peratus pada 2026 dan 2.7 peratus pada 2027, diheret oleh kesan konflik Asia Barat, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Ketua Pasukan IMF dalam Rundingan Artikel IV 2026 dengan Singapura, Masahiro Nozaki berkata harga input yang lebih tinggi dan gangguan rantaian bekalan jangka pendek memberi tekanan kepada industri intensif tenaga serta berkaitan perdagangan di republik itu.
Beliau berkata inflasi keseluruhan Singapura diramalkan meningkat kepada 2.6 peratus pada 2026 disebabkan oleh kesan pindahan harga tenaga yang lebih tinggi, walaupun impak pusingan kedua yang lebih meluas dijangka kekal terkawal di tengah-tengah jangkaan inflasi yang stabil.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, katanya, inflasi keseluruhan kemudiannya diunjurkan menyusut kepada 1.9 peratus pada 2027 susulan tamatnya rundingan dengan pihak berkuasa Singapura dan pihak berkepentingan lain dari 7 hingga 18 Mei 2026.
“Singapura sedang mengharungi satu lagi tahun ketidakpastian global yang memuncak, dan paling ketara perang di Asia Barat sedang menular kepada sektor ekonomi melalui kejutan tenaga.
“Bagaimanapun, Singapura memasuki tempoh ketidaktentuan yang memuncak ini dari satu kedudukan yang kukuh,” tambahnya.
Nozaki berkata, IMF mengunjurkan lebihan fiskal Singapura menyusut kepada 1.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun kewangan (TK2026) daripada 1.6 peratus daripada KDNK pada TK2025, terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi.
“Kerajaan harus bersedia untuk menyediakan sokongan sementara dan bersasar kepada isi rumah dan perniagaan yang terjejas oleh perang di Asia Barat.
“Bagaimanapun, dasar fiskal perlu dilaksanakan dengan berhati-hati agar tidak memberi tekanan kepada inflasi,” katanya.
Selain itu, Nozaki menekankan bahawa sektor kewangan di Singapura kekal berdaya tahan, dengan bank mempunyai modal yang baik, mudah tunai dan menguntungkan, disokong oleh kualiti aset yang kukuh.
Beliau berkata republik itu terus mencapai kemajuan ke arah pertumbuhan inklusif yang lebih kukuh, dengan kecerdasan buatan (AI) telah diubah menjadi strategi pertumbuhan negara.
-- BERNAMA