KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Nilai ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Rabu, didorong oleh sentimen pasaran yang kian ketara susulan prestasi perdagangan Malaysia yang naik 28.6 peratus tahun ke tahun dan mencecah rekod RM336.73 bilion pada April 2026.
Pada 6 petang, ringgit naik kepada 3.9675/9715 berbanding dolar AS daripada 3.9745/9785 ketika ditutup pada Selasa.
Terdahulu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan angka perdagangan Malaysia meningkat lebih ketara, dipacu terutamanya oleh eksport kukuh produk elektrik dan elektronik (E&E).
Perdagangan Malaysia juga mengekalkan momentum kukuh pada April 2026 dengan eksport dan import mencecah paras tinggi meskipun dalam ketidaktentuan global yang meningkat, termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat yang mendorong kos logistik lebih tinggi, gangguan rantaian bekalan dan turun naik.
Menurut MITI eksport meneruskan momentum pertumbuhan untuk bulan ke-10 berturut-turut, melonjak 36.9 peratus kepada RM182.74 bilion yang mengatasi paras tertinggi sebelum ini sebanyak RM152.77 bilion pada Disember 2025 dengan perbezaan RM30 bilion manakala import berkembang 20 peratus kepada RM153.99 bilion.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit mengukuh berbanding dolar AS ketika situasi di Asia Barat masih belum menunjukkan tanda-tanda mereda manakala risiko geopolitik juga kekal tidak menentu.
“Pasaran juga diasak kebimbangan mengenai kadar inflasi global lebih tinggi susulan sekatan di Selat Hormuz serta bagaimana bank pusat memberi reaksi atau bertindak balas terhadap inflasi didorong oleh kos. Faktor-faktor ini menjadi pemacu utama sentimen pasaran,” katanya.
Pada akhir urus niaga hari ini, ringgit turut diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ini termasuk naik berbanding yen Jepun kepada 2.4942/4969 daripada 2.4980/5006, meningkat berbanding euro kepada 4.5975/6022 daripada 4.6180/6226 serta meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3089/3143 daripada 5.3282/3336 sebelumnya.
Berbanding mata wang serantau, ringgit diniagakan bercampur-campur.
Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0969/1003 daripada 3.1022/1055, naik berbanding baht Thailand kepada 12.1341/1516 daripada 12.1719/1898, tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.43/6.44 berbanding 6.43/6.45 namun susut berbanding rupiah Indonesia kepada 224.7/225.0 daripada 224.4/224.8 semalam.
-- BERNAMA