KERAJAAN India membenarkan beberapa jenis premis perniagaan beroperasi semula, melibatkan perniagaan di kawasan kejiranan dan kediaman penduduk.

Kebenaran ini berkuat kuasa Sabtu, lebih sebulan selepas negara itu melaksanakan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan koronavirus (COVID-19).

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri pada Jumaat, kedai runcit boleh beroperasi tetapi dengan jumlah pekerja yang dikurangkan 50 peratus.

Kerajaan juga pada masa sama meminta penduduk terus mengamalkan penjarakan sosial.

Penjualan alkohol dan barangan bukan keperluan bagaimanapun, tetap dilarang.

Setakat ini, India mencatatkan lebih 24,000 kes positif dan 775 kematian akibat COVID-19.

Yang paling teruk terjejas ialah Maharashtra (6,817 kes positif), Gujarat (3,815), New Delhi (2,514) dan Rajasthan (2,034).