PUTRAJAYA: Seorang lelaki ditemukan lemas ketika memancing di sebuah tasik di belakang Klinik Kesihatan Serendah, di sini, pada Ahad.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sebelum itu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.06 tengah hari tadi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai berkenaan.
"Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat dimaklumkan seorang lelaki berusia lingkungan 50-an dipercayai lemas ketika memancing di tasik terbabit.
"Operasi mencari dan menyelamat dijalankan sebelum mangsa berjaya dibawa naik oleh anggota bomba dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batang Kali," katanya dalam kenyataan, di sini pada Ahad.
Ahmad Mukhlis berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.16 petang selepas mangsa ditemukan.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke hospital berhampiran untuk tindakan bedah siasat.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.