INTERNATIONAL
India lancar serangan peluru berpandu ke atas Pakistan, ketegangan dijangka meningkat

Menurut kenyataan rasmi kerajaan India, serangan itu merupakan sebahagian daripada ‘Operasi Sindoor.’ - Foto REUTERS
ISLAMABAD: Ketegangan antara India dan Pakistan kini memuncak selepas tentera India didakwa telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas tiga lokasi di Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan, pada Rabu.
Agensi berita Reuters melaporkan, kejadian tembakan artileri berat dan letupan kuat di beberapa kawasan sempadan di Kashmir yang ditadbir Pakistan.
Ini selepas India mengumumkan telah melancarkan serangan ke atas "infrastruktur pengganas" di sembilan lokasi.
Pakistan pula berikrar akan memberi tindak balas terhadap serangan itu.Saksi di Muzaffarabad, ibu negeri Kashmir yang ditadbir Pakistan berkata, berlaku gangguan bekalan elektrik selepas letupan berkenaan.
Menurut kenyataan rasmi kerajaan India, serangan itu merupakan sebahagian daripada ‘Operasi Sindoor.’
Katanya, ia menyasarkan kem pengganas di Pakistan dan wilayah Jammu serta Kashmir yang diduduki Pakistan yang dikatakan menjadi pangkalan perancangan dan pelaksanaan serangan ke atas India.
Kenyataan itu turut menyebut, tindakan itu bersifat terfokus, terukur dan tidak bertujuan untuk mencetuskan ketegangan.
Jelasnya lagi, tiada kemudahan tentera Pakistan yang disasarkan dan India telah menunjukkan kawalan yang besar dalam pemilihan sasaran dan kaedah pelaksanaan.
Jurucakap tentera Pakistan pula memberitahu saluran penyiaran ARY, India telah melancarkan serangan peluru berpandu di tiga lokasi dan berikrar akan bertindak balas terhadap serangan itu.
Insiden ini berlaku dalam suasana ketegangan yang memuncak antara dua negara jiran yang memiliki senjata nuklear itu, susulan serangan berdarah terhadap pelancong Hindu di Kashmir yang ditadbir India bulan lalu.
Dalam kejadian itu, seramai 26 orang terbunuh dan India menuding jari kepada Pakistan sebagai dalang serangan, serta berikrar akan bertindak balas.
Pakistan bagaimanapun menafikan penglibatan dan mendakwa memiliki maklumat risikan bahawa India sedang merancang serangan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami