NEW DELHI: Kementerian Hal Ehwal Luar India menafikan dakwaan yang tular dalam talian bahawa Tentera Laut Amerika Syarikat menggunakan pelabuhan India susulan konflik dengan Iran, lapor Sputnik dan RIA Novosti.
“Dakwaan yang disebarkan oleh saluran AS, One America News Network bahawa Tentera Laut AS menggunakan pelabuhan India adalah palsu dan tidak benar. Kami menasihatkan agar tidak menyebarkan komen tidak berasas dan direka-reka seperti ini,” menurut kenyataan kementerian itu.
Advertisement
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan oleh One America News Network, yang memetik bekas Kolonel Tentera Darat AS dan bekas Penasihat Setiausaha Pertahanan, Douglas Macgregor, yang mendakwa Tentera Laut AS menggunakan pelabuhan India dalam konflik dengan Iran.
Pada 28 Februari, AS dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran, termasuk di Tehran, yang menyebabkan kerosakan dan kematian orang awam.
Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan terhadap wilayah Israel serta pangkalan tentera AS di seluruh Timur Tengah.
Serangan terhadap Iran itu berlaku walaupun rundingan mengenai isu nuklear Iran yang diperantarakan oleh Oman antara Washington dan Tehran sedang berlangsung di Geneva.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI