Bank Dunia akan memberi tambahan AS$1 bilion kepada India untuk membantu negara itu memerangi pandemik COVID-19, menjadikan jumlah komitmennya kepada AS$2 bilion.

Pada bulan lepas, bank itu menawarkan dana untuk membantu sektor kesihatan India membendung pandemik tersebut.

Pembiayaan baharu itu akan terdapat dalam dua peringkat, dengan AS$750 juta disediakan dengan segera dan AS$250 juta akan diagihkan pada tahun depan.

Wang itu akan digunakan untuk menyokong usaha menyalurkan bantuan sosial kepada isi rumah miskin dan memerlukan yang terjejas teruk berikutan sekatan pergerakan, menurut kenyataan oleh Kementerian Kewangan India pada Jumaat.

"Perlindungan sosial adalah pelaburan penting berikutan separuh daripada penduduk India meraih kurang daripada AS$3 sehari dan hampir dengan garis kemiskinan.

"Lebih 90 peratus daripada tenaga kerja di India bekerja dalam sektor bukan formal, tanpa akses kepada simpanan yang ketara atau manfaat perlindungan sosial berasaskan tempat kerja seperti cuti sakit berbayar atau insurans sosial," katanya.

Jumlah kes positif COVID-19 India telah mencecah 85,000, dan lebih 2,700 kematian dicatatkan setakat ini akibat pandemik tersebut.

-- BERNAMA