KUALA LUMPUR:Tanpa fatwa halal, Indonesia mungkin berdepan kesukaran untuk meyakinkan penduduk di negara yang majoriti beragama Islam untuk menerima suntikan vaksin, kata Pengarah Eksekutif Lembaga Survei KedaiKOPI Indonesia, Dr Kunto Adi Wibowo.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan Indonesia kini sedang mempercepatkan proses mengeluarkan fatwa halal tersebut sebelum tarikh tetap pengedaran vaksin ditentukan.

"Indonesia ini majoriti adalah muslim justeru penting untuk mendapatkan fatwa halal. Jika tidak, ia akan menjadi sukar untuk meyakinkan orang ramai menerima vaksin.

"Namun wujud juga kontroversi kononnya Majlis Ulama Indonesia (MUI) didesak supaya memberikan fatwa halal dan secara tergesa-gesa. Namun proses ini nampak dipercepatkan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: Vaksin Sinovac tiba di Indonesia

Dr Kunto berkata, pengedaran secara meluas vaksin di Indonesia mungkin bermula seawal Januari depan.

Indonesia menerima sejumlah 1.2 juta vaksin Sinovac Biotech dari China pada Ahad dan tambahan 1.8 juta tidak lama lagi.

Namun kesemua vaksin itu akan melalui proses ujian secara tempatan bagi mengesahkan keberkesanan dan keselamatan sebelum diedarkan.

Dr Kunto dalam masa sama berkata, kegusaraan rakyat Indonesia juga adalah berkaitan kos vaksin.

"Vaksin di Indonesia tidak diedarkan secara percuma 100 peratus. Mungkin kerajaan hanya tangung sekitar 30 peratus atau lebih, bakinya sekitar 70 peratus harus dibayar sendiri.

"Ini mewujudkan tanggapan sama ada mampu kita wujudkan imuniti jika ramai penduduk Indonesia tidak mampu membeli vaksin," kata beliau lagi.

Namun begitu, Dr Kunto berkata, vaksin yang dihasilkan syarikat tempatan, BioPharma disasarkan berharga tidak lebih RM86 ringgit satu dos.

"Ini soal kecemasan, seharusnya vaksin diberikan secara percuma seperti yang dilakukan Malaysia," kata beliau lagi.

Dalam perkembangan sama, Dr Kunto berkata, vaksin yang diterima negara itu hanya akan mengurangkan  namun tidak mampu mengawal penularan susulan populasi yang besar.

Justeru, tegas beliau, penularan itu hanya boleh diputuskan dengan pengamalan protokol kesihatan yang digariskan kerajaan.