DUNIA
Indonesia boleh capai mampu diri tenaga dalam enam tahun - Prabowo

Prabowo menjelaskan bahawa satu daripada tonggak utama mampu diri tenaga negara adalah penggunaan tenaga suria. - Foto REUTERS
KARAWANG: Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyatakan keyakinan bahawa Indonesia boleh mencapai mampu diri tenaga dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang, lapor Agensi Berita ANTARA.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah Projek Ekosistem Industri Bateri Kenderaan Elektrik Bersepadu di Karawang, Jawa Barat pada Ahad.
"Saya dimaklumkan oleh pakar bahawa negara kita benar-benar boleh mencapai mampu diri tenaga, dan berdasarkan pengiraan saya, ia tidak akan mengambil masa lama. Dalam lima tahun, enam tahun paling lewat, kita boleh capai mampu diri tenaga," katanya.
Ketua negara itu menjelaskan bahawa satu daripada tonggak utama mampu diri tenaga negara adalah penggunaan tenaga suria.Presiden Prabowo berkata teknologi bateri yang akan dihasilkan di Karawang akan memainkan peranan penting dalam penyimpanan dan pengagihan tenaga suria secara efisien.
"Kunci kepada tenaga suria terletak pada teknologi bateri, dan hari ini kita sedang menyaksikan pembangunan itu," katanya.
Menurut laporan yang diterima, kapasiti yang dihasilkan di kemudahan itu kini mencecah 15 gigawatt. Bagaimanapun, untuk mencapai mampu diri tenaga sepenuhnya, Indonesia memerlukan sekitar 100 gigawatt.
"Ini bermakna kita perlu memperbanyak projek seperti ini, dan saya percaya negara kita mampu melakukannya," kata Prabowo.
Projek industri bateri kenderaan elektrik ini merupakan kerjasama antara syarikat perlombongan milik negara ANTAM, Perbadanan Bateri Indonesia (IBC), dan konsortium CATL, Brunp, serta Lygend (CBL).
Projek ini meliputi pemprosesan dari hulu ke hilir dan terdiri daripada enam subprojek, lima daripadanya terletak di Halmahera Timur, Maluku Utara, dan satu di Karawang.
Sebagai sebahagian daripada Projek Strategik Nasional (PSN), jumlah pelaburan projek ini ialah US$5.9 bilion dengan keluasan 3,023 hektar.
Ia dijangka dapat mewujudkan sehingga 8,000 peluang pekerjaan dan menyokong pembangunan 18 projek infrastruktur termasuk pelabuhan pelbagai fungsi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami