DUNIA
Indonesia catat lebih 4,000 gempa bumi pada Ogos - BMKG

Mereka yang benar-benar memahami seismologi sangat berhati-hati dan tidak akan berani meramalkan gempa bumi secara terbuka. - Gambar hiasan
JAKARTA: Indonesia digegarkan oleh 4,071 kejadian gempa bumi pada Ogos, menurut agensi meteorologi negara itu, sekali gus menyerlahkan kerentanannya terhadap bahaya seismik.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menyatakan bahawa 4,050 gempa bumi berkenaan adalah di bawah magnitud 5.0, manakala 21 melebihi tahap itu dengan 90 daripadanya dirasai oleh penduduk.
"Gempa bumi terkuat pada Ogos ialah bermagnitud 6.3 di Sarmi, Papua pada 12 Ogos, diikuti gempa bumi dengan magnitud 5.8 di Poso, Sulawesi Tengah pada 17 Ogos," kata Ketua Pusat Gempa Bumi dan Tsunami BMKG, Daryono dalam satu kenyataan.
Gempa bumi bermagnitud 4.7 turut melanda Karawang, Jawa Barat pada 20 Ogos, menggegarkan kawasan berhampiran Jakarta.Daryono memberi amaran kepada orang ramai agar tidak mempercayai ramalan gempa bumi dan menolak dakwaan bahawa gerhana bulan boleh mencetuskan gempa, susulan spekulasi yang mengaitkan gerhana bulan penuh pada 7-8 September dengan bencana alam.
"Daya tarikan graviti Bulan dan Matahari sememangnya mempengaruhi pasang surut dan memberi sedikit tekanan pada kerak bumi, satu fenomena yang dikenali sebagai pasang surut Bumi, tetapi kesannya sangat kecil berbanding tenaga besar yang tersimpan di zon sesar," jelas beliau.
Beliau juga menegaskan bahawa mereka yang benar-benar memahami seismologi sangat berhati-hati dan tidak akan berani meramalkan gempa bumi secara terbuka.
"Tetapi mereka yang tidak mempunyai kepakaran selalunya yang paling lantang membuat ramalan," tambah beliau.
Indonesia, sebuah negara kepulauan dengan lebih 17,000 pulau, terletak di Lingkaran Api Pasifik dan mengalami ribuan gempa bumi setiap tahun, walaupun kebanyakannya terlalu lemah untuk dirasai.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami