Skip to main content

Malaysia

ECRL bakal jadi simbol persahabatan abadi Malaysia-China - Duta

71673170917_OuyangYujing.jpg
Ouyang berkata, Fasa 1 projek itu dijangka diserahkan menjelang akhir tahun ini, sekali gus menandakan peralihan kerjasama dua hala daripada pembinaan berkualiti tinggi kepada operasi yang berstandard tinggi. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menjadi mercu tanda penting yang melambangkan keakraban serta persahabatan abadi antara Malaysia dan China, selain memberi manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara, kata Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing.

"Kami berharap dapat melihat ECRL menjadi simbol gemilang bagi kerjasama membuahkan hasil antara China dan Malaysia, sebuah projek mercu tanda yang membawa manfaat ketara kepada rakyat kedua-dua negara, serta bukti berpanjangan kepada persahabatan abadi antara kedua-dua negara," katanya dalam satu taklimat media di sini pada Selasa.

Ouyang berkata ECRL, yang merupakan projek utama bagi kerjasama berkualiti tinggi Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) antara China dan Malaysia, dengan kerja-kerja pemasangan landasan telah selesai  dan kemajuan pembinaan keseluruhan kini mencecah 94 peratus.

Beliau berkata Fasa 1 projek itu dijangka diserahkan menjelang akhir tahun ini, sekali gus menandakan peralihan kerjasama dua hala daripada pembinaan berkualiti tinggi kepada operasi yang berstandard tinggi.

Menyifatkan ECRL sebagai projek infrastruktur pengangkutan tunggal terbesar yang sedang dibina di luar negara oleh perusahaan China pada masa ini, Ouyang berkata ia menunjukkan keakraban kerjasama Malaysia-China dalam pengurusan projek, latihan tenaga kerja dan standard teknikal.

Beliau berkata kedua-dua negara telah menandatangan perjanjian operasi dan penyelenggaraan kereta api bersama pada 2024, manakala China juga telah membantu melatih lebih 1,000 profesional kereta api Malaysia.

"Dengan usaha bersama daripada kedua-dua belah pihak, projek ini dijangka menjadi model dan tanda aras bagi kerjasama Jalur dan Laluan, selain meningkatkan kerjasama serta kesalinghubungan serantau secara signifikan," katanya.

Ouyang berkata rangkaian kereta api itu akan mengintegrasikan lagi rantaian industri dan bekalan, meningkatkan kecekapan logistik di seluruh negara, menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia, serta menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, perlombongan, perkapalan dan industri berkaitan yang lain.

Beliau berkata projek berkenaan juga berpotensi untuk dihubungkan dengan Rangkaian Kereta Api Seluruh Asia yang lebih luas, sekali gus menyuntik momentum baharu dalam pertumbuhan ekonomi serantau.

Menurut Ouyang, fasa pembinaan itu sahaja telah mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan dan memberi manfaat kepada beribu-ribu perniagaan tempatan di Malaysia menerusi aturan subkontrak.

Apabila siap kelak, beliau berkata ECRL akan berfungsi sebagai jambatan darat yang menghubungkan pantai timur dan barat Semenanjung Malaysia, mengurangkan masa perjalanan kepada kira-kira separuh, serta menjadikan pengangkutan lebih mudah bagi komuniti setempat.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement