JAKARTA: Indonesia telah menggantung operasi pencarian di bawah air di dalam bangkai feri Virgo Transport 8 sehingga usaha menimbulkan dan menstabilkan kapal berkenaan selesai, dengan 55 orang masih dilaporkan hilang pada hari ke-21 operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Sabtu.
Ketua Badan Nasional Mencari dan Menyelamat (Basarnas), Mohammad Syafii berkata, penyelam telah menembusi kira-kira 10 hingga 15 meter ke dalam kapal berkenaan, namun pergerakan seterusnya terhalang oleh runtuhan dan bahan di dalamnya, manakala strukturnya yang tidak stabil serta keadaan kapal yang terus tenggelam meningkatkan risiko kepada anggota SAR.
Beliau berkata, beberapa tingkap telah dibuka bagi membolehkan penyelam memasuki kapal, tetapi tiada mangsa ditemukan menerusi laluan berkenaan sejak hari ke-19, manakala jarak penglihatan yang sangat terhad akibat mendapan dan runtuhan, objek tajam, tumpahan minyak serta kemungkinan pencemaran bahan kimia menimbulkan risiko tambahan.
"Semakin jauh operasi penyelaman dilakukan ke dalam kapal, semakin kompleks risikonya. Pada titik ini, perlu ada keseimbangan antara strategi pencarian dan keselamatan anggota," katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung pada Sabtu.
Feri Virgo Transport 8 yang membawa 243 orang terbalik di Laut Jawa pada 13 Sept selepas terputus hubungan semasa dalam pelayaran dari Surabaya di Jawa Timur ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan, sebelum tenggelam sepenuhnya.
Syafii berkata, 188 orang telah dipindahkan setakat Sabtu, merangkumi 108 mangsa yang selamat dan 80 mayat dikeluarkan, dengan baki 55 orang masih hilang.
Penyelam telah membawa keluar 50 mayat sepanjang operasi pencarian di bawah air.
Beliau berkata, pencarian di dalam kapal boleh disambung semula sebaik sahaja ia ditimbulkan dan distabilkan, manakala operasi SAR akan diteruskan sepanjang proses penimbulan menerusi pencarian di permukaan air dan pesisir pantai di seluruh Kalimantan Selatan, Tengah dan Barat.
"Tumpuan operasi bukan lagi pada berapa banyak aset yang digerakkan, tetapi bagaimana kita boleh menilai pencarian 55 orang ini," katanya sambil menambah bahawa kawasan pencarian akan disesuaikan berdasarkan kemungkinan arah hanyutan, arus, angin, ombak dan perkembangan di lapangan.
Beliau berkata, lebih 1,200 anggota telah terlibat dalam operasi itu, disokong oleh tujuh pesawat, 24 kapal besar dan 63 anggota dengan kepakaran khas SAR di dalam air.
-- BERNAMA