JAKARTA: Indonesia mengecam sekeras-kerasnya tindakan menyerbu Masjid Al-Aqsa yang dilakukan pasukan keselamatan Israel pada Ramadan.

Menerusi hantaran di Twitter, Kementerian Luar menyatakan keganasan itu mengakibatkan beberapa jemaah cedera dan ratusan yang lain ditahan.

"Perbuatan itu amat mengguris perasaan umat Islam di seluruh dunia dan satu tindakan mencabul kesucian Al-Aqsa serta akan meningkatkan lagi konflik dan keganasan," menurut kementerian itu.

Indonesia turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa mengambil langkah konkrit dengan segera bagi menghentikan dan menamatkan pelbagai pencabulan yang dilakukan oleh Israel ke atas Al-Aqsa.

Pada Rabu, tentera Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa, tapak ketiga paling suci buat umat Islam selepas Mekah dan Madinah, serta menahan 350 rakyat Palestin.

-- BERNAMA