Skip to main content

Dunia

Indonesia kurangkan eksport gas asli ke Singapura

Djoko berkata Singapura ialah satu-satunya negara yang terjejas oleh pengurangan itu kerana saluran paip eksport gas terbabit disambungkan terus ke negara itu. - FB SKK Migas
Djoko berkata Singapura ialah satu-satunya negara yang terjejas oleh pengurangan itu kerana saluran paip eksport gas terbabit disambungkan terus ke negara itu. - FB SKK Migas

Advertisement

Ringkasan AI

  • Indonesia mula mengurangkan eksport gas asli ke Singapura sebanyak 31 bilion unit terma British sehari bermula Sabtu.
  • Pengurangan melibatkan 15 BBTUD dari Natuna dan 16 BBTUD dari Sumatera, menurut SKK Migas.
  • Langkah ini bertujuan mengutamakan penggunaan domestik, khususnya untuk pembangunan industri petrokimia hiliran.

JAKARTA: Indonesia mula mengurangkan eksport gas asli ke Singapura sebanyak 31 bilion unit terma British sehari (BBTUD), berkuat kuasa pada Sabtu, menurut pengawal selia minyak dan gas huluan negara itu.

Ketua Pasukan Petugas Kawal Selia Minyak dan Gas Hulu (SKK Migas) Djoko Siswanto berkata pengurangan itu terdiri daripada 15 BBTUD dari Kepulauan Natuna di Laut China Selatan dan 16 BBTUD dari pulau Sumatera di barat Indonesia.

“Mulai esok (Sabtu), kami akan mengurangkan eksport gas ke Singapura, 15 BBTUD dari Natuna dan 16 BBTUD dari Sumatera,” katanya menurut laporan agensi berita negara Antara pada Sabtu.

Djoko berkata Singapura ialah satu-satunya negara yang terjejas oleh pengurangan itu kerana saluran paip eksport gas terbabit disambungkan terus ke negara itu.

Pengumuman itu susulan kenyataan Menteri Penyelaras Hiliran dan Peralihan Tenaga Bahlil Lahadalia pada Rabu bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk tidak melanjutkan eksport gas ke negara jiran.

Bahlil, yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, berkata Indonesia akan mengkaji semula eksport gasnya untuk mengutamakan penggunaan domestik khususnya bagi menyokong pembangunan industri petrokimia hiliran.

Katanya Indonesia kini mengeksport 30 peratus daripada pengeluaran gas aslinya manakala baki 70 peratus digunakan dalam negara sambil menambah bahawa peruntukan itu akan dikaji semula.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement