Skip to main content

Dunia

Indonesia kurangkan eksport gas: Singapura tuntut semua pihak hormati kontrak bekalan

Lawrence Wong berkata, pengimport gas negara itu akan mengambil langkah yang perlu bagi melindungi hak dan kepentingannya di bawah kontrak-kontrak berkaitan. - Gambar fail
Lawrence Wong berkata, pengimport gas negara itu akan mengambil langkah yang perlu bagi melindungi hak dan kepentingannya di bawah kontrak-kontrak berkaitan. - Gambar fail

Advertisement

SINGAPURA: Singapura mengharapkan semua pihak yang terlibat dalam kontrak komersial bekalan gas agar mematuhi komitmen yang telah dipersetujui susulan keputusan Indonesia mengurangkan eksport gas asli ke republik itu.

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berkata, pengimport gas negara itu akan mengambil langkah yang perlu bagi melindungi hak dan kepentingannya di bawah kontrak-kontrak berkaitan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada konvensyen Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Ahad.

Indonesia mula mengurangkan eksport gas asli ke Singapura pada Sabtu.

Menurut pengawal selia industri minyak dan gas huluan Indonesia, SKK Migas, langkah itu diambil bagi menyalurkan lebih banyak bekalan gas untuk memenuhi keperluan penjanaan elektrik domestik.

Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga (EMA) Singapura memaklumkan pengurangan sebanyak 31 juta kaki padu standard gas sehari itu mewakili kurang daripada dua peratus daripada jumlah permintaan harian gas negara tersebut.

Kira-kira 95 peratus tenaga elektrik Singapura dijana menggunakan gas asli, manakala sebahagian besar bekalan gas itu diimport melalui saluran paip dari Indonesia.

"Bekalan gas ini tertakluk kepada kontrak komersial. Kami menjangkakan semua pihak menghormati komitmen masing-masing dan pengimport gas Singapura akan mengambil langkah yang perlu untuk melindungi hak serta kepentingan mereka di bawah kontrak tersebut," kata Wong.

Menurut beliau, Singapura telah lama membuat persiapan bagi menghadapi risiko gangguan bekalan tenaga dengan melabur dalam terminal gas asli cecair (LNG), sekali gus membolehkan negara itu mengimport gas dari pelbagai negara tanpa bergantung sepenuhnya kepada saluran paip.

Bagaimanapun, Wong menegaskan, Singapura tidak boleh terus bergantung kepada gas asli semata-mata dan perlu meneroka sumber tenaga yang lebih bersih serta mampu menjamin bekalan elektrik secara berterusan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan sedang menilai potensi penggunaan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang keselamatan tenaga negara.

"Sudah tentu terdapat kebimbangan mengenai aspek keselamatan tenaga nuklear, lebih-lebih lagi dalam sebuah negara kecil dan padat penduduk seperti Singapura. Kami memandang serius kebimbangan itu. Keselamatan mesti menjadi keutamaan," katanya.

Namun, beliau menegaskan, sesuatu pilihan tidak seharusnya diketepikan hanya kerana ia sukar atau menimbulkan kontroversi.

"Kita perlu menilai risiko dan pertimbangannya secara teliti, melibatkan rakyat dalam perbincangan, dan akhirnya membuat keputusan yang tepat demi menjamin masa depan tenaga negara," katanya.

Mulai 2027, Singapura akan menjalani penilaian oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi menilai kesediaan negara itu membuat keputusan berhubung penggunaan tenaga nuklear.

Penilaian yang dikenali sebagai Integrated Nuclear Infrastructure Review itu merangkumi beberapa fasa dengan penanda aras yang perlu dicapai bagi membantu negara memahami komitmen dan tanggungjawab berkaitan pembangunan program tenaga nuklear.

Dalam pada itu, Wong berkata, kerajaan perlu melihat melangkaui cabaran semasa dan bersedia menghadapi keperluan masa depan.

Menurutnya, ekonomi masa depan masih akan dipacu oleh idea dan bakat, namun kuasa pengkomputeran akan menjadi semakin penting, sekali gus memerlukan jumlah tenaga yang sangat besar.

Perkukuh kerjasama antarabangsa

Dalam ucapannya, Wong turut menyifatkan dunia kini semakin mencabar dan tidak menentu, namun Singapura masih berada pada kedudukan yang kukuh untuk mengharungi cabaran tersebut.

"Kami kekal sebagai rakan yang dipercayai serta destinasi menarik bagi perniagaan dan pelabur," katanya.

Beliau berkata, Singapura terus memperkukuh hubungan dengan pelbagai rantau dunia menerusi lawatan dan kerjasama yang lebih erat.

Minggu lalu, Presiden Tharman Shanmugaratnam mengadakan lawatan negara ke Sweden, manakala Wong sendiri baru pulang daripada lawatan ke Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurutnya, kesediaan negara-negara tersebut untuk bekerjasama rapat dengan Singapura mencerminkan tahap kepercayaan dan hubungan baik yang dibina sejak sekian lama.

Wong berkata, reputasi Singapura sebagai rakan yang boleh dipercayai dan negara yang menunaikan komitmennya merupakan aset penting, terutama dalam dunia yang semakin berpecah dan tidak stabil.

Katanya, reputasi itu membantu negara menarik pelaburan berkualiti tinggi yang seterusnya menyokong pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat.

Menyentuh cabaran rentas sempadan seperti penipuan dalam talian dan jerebu, Wong berkata, masalah sedemikian tidak dapat ditangani secara bersendirian tanpa kerjasama negara lain.

Singapura kini berdepan episod jerebu paling buruk sejak 2015 dan telah mengeluarkan notis kepada 10 syarikat berpangkalan di Singapura serta 10 syarikat di Indonesia di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.

"Kami tidak boleh menyelesaikan masalah ini melalui usaha sendiri semata-mata. Kami memerlukan kerjasama daripada negara lain.

"Namun itu tidak bermakna kami berdiam diri. Kami akan melakukan segala yang termampu untuk melindungi rakyat Singapura, memperkukuh tindak balas domestik dan bekerjasama dengan rakan-rakan serantau bagi menangani punca masalah tersebut," katanya.

'Dibina bersama rakyat Singapura'

Mengulas soal pentadbiran negara, Wong berkata, Singapura yang diimpikan tidak boleh dibentuk oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu dibina bersama rakyat.

Beliau berkata, mandat kukuh yang diberikan rakyat kepada PAP untuk terus mentadbir bukan satu hak mutlak, tetapi tanggungjawab untuk menunaikan janji, menangani isu sukar dan mempersiapkan negara menghadapi masa depan.

"Tiada parti politik mempunyai hak kekal terhadap kepercayaan rakyat. Setiap generasi pemimpin dan aktivis PAP perlu terus memperoleh kepercayaan itu," katanya.

Wong mengakui sebahagian sektor ekonomi Singapura mencatat prestasi baik, namun ada juga yang berdepan tekanan.

Menurutnya, sebahagian pekerja mendapat manfaat daripada peluang baharu, manakala yang lain masih bergelut menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi.

Pekerja berpendapatan rendah bimbang terhadap peningkatan kos sara hidup, sementara rakyat berusia 40-an dan 50-an yang kehilangan pekerjaan pula risau tentang peluang untuk kembali bekerja.

"Kami memahami kebimbangan ini dan kami akan bertindak balas terhadapnya. Tugas kami bukan sekadar memastikan ekonomi terus berkembang, tetapi memastikan pertumbuhan itu diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik untuk semua rakyat Singapura," katanya.

Tambah Wong, kerajaan turut memperkenalkan pelbagai langkah bagi meringankan beban ibu bapa dan memberi jaminan lebih besar kepada institusi keluarga, termasuk menerusi inisiatif yang diumumkan dalam Perhimpunan Hari Kebangsaan tahun ini.

Beliau menegaskan bahawa walaupun kerajaan akan terus menyediakan peluang dan sokongan kepada rakyat, setiap individu juga perlu memainkan peranan masing-masing.

"Kami akan mewujudkan peluang dan membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan, tetapi pekerja juga perlu bersedia untuk terus belajar dan meningkatkan kemahiran.

"Kami akan mengurangkan penekanan terhadap peperiksaan dan memperluaskan laluan pendidikan, namun ibu bapa juga perlu memberi ruang kepada anak-anak untuk berkembang mengikut kemampuan mereka sendiri.

"Kami akan memperkukuh sokongan kepada keluarga dan warga emas, tetapi pada masa sama, kita semua perlu saling membantu antara satu sama lain," katanya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement