JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia melupuskan sebanyak 2,564 bun susu yang dirampas daripada penumpang di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta menerusi 33 tindakan penguatkuasaan pada Februari.

Ketua kastam dan eksais lapangan terbang itu Gatot Sugeng Wibowo dalam satu kenyataan berkata bun yang dirampas itu dikenal pasti sebagai produk makanan tular dari Thailand, seberat satu tan dan bernilai kira-kira 400 juta rupiah (RM120,676).

"Bun yang dirampas daripada penumpang itu disyaki digunakan untuk tujuan komersial atau perkhidmatan bungkusan," katanya.

Penumpang juga tidak mempunyai permit pengedaran daripada Agensi Makanan dan Ubat-ubatan (BPOM) Indonesia.

Pihak berkuasa menetapkan had barangan makanan yang diproses bagi setiap penumpang ialah lima kilogram. Item yang melebihi had itu yang tidak mempunyai kelulusan BPOM boleh dirampas

Langkah itu bertujuan untuk mengurangkan pengedaran barangan yang tidak mendapat kelulusan BPOM sekali gus dapat menyokong industri makanan tempatan selain menjaga keselamatan orang ramai.

-- BERNAMA