Indonesia minta penjelasan Meta isu kebocoran data Instagram

Meta dan Instagram sedang menyiasat laporan itu dan hasil siasatan akan digunakan sebagai asas untuk penilaian selanjutnya. - AP
JAKARTA: Kementerian Komunikasi dan Digital (Komdigi) Indonesia meminta penjelasan daripada Meta susulan laporan kemungkinan kebocoran data yang dikaitkan dengan prosedur tetapan semula kata laluan di Instagram, lapor Agensi Berita ANTARA.
Ketua Pengarah Pemantauan Ruang Digital Komdigi Alexander Sabar berkata Meta telah memberikan jaminan kepada kerajaan bahawa proses penetapan semula kata laluan ialah mekanisme dalaman yang tidak mendedahkan maklumat pengguna kepada pihak ketiga.
"Kata laluan tidak boleh diakses atau diperolehi sesiapa selain pemilik akaun. Tiada tanda-tanda penyalahgunaan ciri tetapan semula kata laluan yang didakwa digunakan oleh pihak luar untuk mencuri data," kata Sabar dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya Meta dan Instagram sedang menyiasat laporan itu dan hasil siasatan akan digunakan sebagai asas untuk penilaian selanjutnya.
Kementerian itu mengadakan pertemuan dengan Meta selaras Peraturan Kerajaan No 71 2019 untuk memanggil penyedia sistem elektronik yang beroperasi di Indonesia untuk soal siasat atau penjelasan.
"Arahan memangil Meta mencerminkan komitmen negara untuk melindungi data peribadi dan menjaga keselamatan ruang digital negara," kata Sabar.
Kementerian berkenaan menggesa orang awam supaya tidak bimbang, mengelakkan penyebaran maklumat tidak sah dan terus melindungi akaun digital mereka.
Menurut kementerian itu, pihaknya kekal komited untuk memantau ruang digital bagi memastikan keselamatan sistem elektronik dan data peribadi rakyat di seluruh negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


