JAKARTA: Indonesia mungkin menaikkan harga bahan api bersubsidi sekiranya lonjakan harga minyak global melebihi kemampuan belanjawan negara untuk menampung kos berkenaan, kata Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa.
Beliau berkata sebarang kenaikan harga hanya akan dipertimbangkan sekiranya kerajaan tidak lagi dapat mengimbangi kesan kenaikan harga minyak melalui belanjawan negara.
Advertisement
“Jika belanjawan tidak mampu menampung tekanan itu, tiada pilihan lain selain berkongsi beban berkenaan dengan rakyat, yang bermaksud kenaikan harga bahan api,” katanya menurut laporan Agensi Berita ANTARA.
Pengiraan Kementerian Kewangan menunjukkan defisit belanjawan boleh mencecah 3.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sekiranya harga minyak kekal pada paras AS$92 setong sepanjang tahun tanpa campur tangan kerajaan.
Pada masa ini, harga bahan api bersubsidi di Indonesia ditetapkan pada Rp10,000 (RM2.33) seliter bagi petrol Pertalite dan Rp6,800 (RM1.58) seliter bagi diesel bersubsidi.
Purbaya berkata kerajaan sedang menyediakan langkah mitigasi bagi mengelakkan kenaikan harga minyak daripada meluaskan defisit fiskal, termasuk pelarasan harga bahan api atau pengagihan semula perbelanjaan negara.
Program yang kurang menjadi keutamaan boleh dikurangkan bagi mengekalkan kesihatan fiskal, sambil memastikan program penting yang memberi kesan kepada kebajikan rakyat terus dibiayai.
Beliau memberi contoh Program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG), dengan menyatakan bahawa pengurangan perbelanjaan akan tertumpu kepada aktiviti sokongan dan bukannya penyediaan makanan.
Purbaya berkata Indonesia sebelum ini pernah berdepan kejutan harga minyak yang lebih besar, termasuk ketika harga minyak mentah mencecah kira-kira AS$150 setong, namun ekonomi negara kekal berdaya tahan.
Sebelum ini, Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia memaklumkan harga bahan api bersubsidi kekal stabil dan bekalan stok mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri.
-- BERNAMA